Ajal kejar lori tiba-tiba bergerak


PERAK – Seorang pemandu lori maut tersepit antara lori dan pokok kelapa sawit yang membawa muatan sawit di ladang sawit Changkat Banjar, Tanjung Belanja, Parit.

Mangsa, Raja Jalaludin Raja Abdullah, 25, dipercayai cuba mengejar untuk menaiki lori berkenaan yang dipercayai tiba-tiba bergerak ketika diletakan di kawasan ladang itu sekitar jam 12.00 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan diletak di ladang itu oleh mangsa sebelum mangsa turun ke kawasan ladang tersebut.

 "Secara tiba-tiba lori berkenaan bergerak ke hadapan menyebabkan mangsa cuba mengejar untuk menaiki lori itu.

"Belum sempat mangsa naik, lori itu melanggar pokok sawit menyebabkan mangsa tersepit antara lori dan pokok kelapa sawit," katanya.

Mohamad Zainal berkata, mangsa meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang selepas parah dibeberapa bahagian badan.


Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Changkat Melintang dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – Editor: Atila Atasha