bangkai tapir di lapah


GUA MUSANG​ - ​​​Kejam! Gambaran yang di berikan kepada individu yang sanggup melapah bangkai tapir yang dipercayai dilanggar di kawasan Kampung Renok Baru.

Menurut saksi, Nor Azhar Mahmood, 48, dia menemui bangkai tapir berkenaan pada jam 6.40 pagi, di tepi jalan utama Gua Musang-Kuala Krai.

Katanya, ketika dijumpai, keadaan bangkai berkenaan masih sempurna dan tiada sebarang kesan dan kemungkinan ia masih baharu sahaja dilanggar.

"Saya hanya sempat bergambar dengan bangkai berkenaan kerana sepanjang hidup saya, saya tidak pernah jumpa haiwan ini. Ini yang pertama kali.

"Namun, selepas itu, saya meninggalkan bangkai berkenaan kerana mahu ke tempat kerja. Saya terkejut bila mendapat tahu ia dilapah beramai-ramai.

"Ada yang mendakwa, kulit haiwan itu mampu mengubati pelbagai jenis penyakit dan saya tidak pasti kesahihannya," katanya lagi.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohd Hasdi Husin, berkata, bangkai tersebut sudah diambil namun beliau kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Beliau turut memberi amaran kepada individu yang terlibat kerana ia satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 68 Akta 716 Pemuliharaan Hidupan Liar.

"Orang awam yang menjumpai tapir dilanggar atau di mana-mana kawasan dinasihatkan supaya tidak mengambil bahagian ‘karkas’ haiwan tersebut.

"Orang ramai yang menemui haiwan terbabit boleh menghubungi Jabatan Perhilitan Jajahan berhampiran atau ibu pejabat Perhilitan Negeri di talian 09-7416240.


“Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya. Sumber: Sinar Harian, Editor: Atila Atasha