Isnin, 4 Disember 2017

Bayi 7 Bulan Termasuk Tiga Beranak Terbunuh.



SITIAWAN - Tiga beranak maut termasuk bayi berusia 7 bulan dipercayai kereta MPV yang dipandu oleh mangsa terbabas lalu terbalik ke dalam parit sedalam 2.5 meter.

Ketiga-tiga mangsa yang maut itu dipercayai sepasang suami isteri yang berusia 30-an dan seorang bayi. Mereka dikatakan dalam perjalanan dari arah Sitiawan menghala ke Teluk Intan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan Mustafa Ismail, menjelaskan bahawa pihaknya menerima panggilan pada jam 4.24 pagi.

Menurutnya, anggota yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya bertindak mengeluarkan mangsa yang masih berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.

“MPV berkenaan dikatakan terbabas lalu terbalik ke dalam parit yang berair sedalam 2.5 meter dan bomba memerlukan kira-kira lapan minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa.

“Pasukan perubatan yang mengesahkan ketiga-tiga mangsa itu meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.10 pagi. Sumber: Harian Metro. Editor: Atila Atasha
loading...