Fakta: Kenapa Penipuan Online Tiada Tindakan Polis


Saban hari kian ramai yang terlibat dengan penipuan media sosial samada membeli barangan melalui atas talian ataupun menggunakan perkhidmatan atas talian. Kes penipuan ini kebanyakannya menggunakan modus operandi yang serupa.

Namun pelbagai soalan yang timbul di dalam fikiran mangsa penipuan sama ada pihak berkuasa ada mengambil tindakan atau sekadar mengambil laporan tetapi tiada apa-apa tindakan di ambil? Dan ada juga pengguna yang tidak kesah di tipu kerana jumlah wang yang di tipu hanya sedikit.

Ini merupakan salah satu kesilapan pengguna yang bersikap sambil lewa dengan penipuan yang telah berlaku, cuba bayangkan jika satu pengguna telah di tipu 10 ringgit mungkin nampak jumlah yang sedikit, jika 10 orang? 100 orang? ataupun 1juta?. Ini kita sedia maklum bahawa terdapat berjuta pengguna menggunakan media sosial setiap hari, jadi tidak mustahil jika perkara yang berlaku kepada mangsa juga berlaku kepada berjuta pengguna di luar sana.

Di sini ada di berikan beberapa tips-tips untuk membuat laporan Polis jika kita telah di tipu ketika berurusan melalui atas talian, tidak salah jika kita mengambil langkah berjaga-jaga kerana taktik penipuan di atas talian ini sentiasa berubah-ubah. Dan disebabkan itu saya telah cuba mendapatkan pandangan Saudara Kamal Affandi Hisham yang merupakan Penganalisis Jenayah yang dikenali di Malaysia terhadap apa yang sering dan sedang terjadi di kalangan pengguna yang menggunakan medium Facebook/Mudah/Lelong untuk membeli atau menjual secara atas talian.

Namun setelah berbual panjang dengan saudara Kamal Affandi Hashim, nampaknya masih ada lagi perkara-perkara penting yang kita tidak tahu dalam membuat laporan polis yang menyebabkan sesetengah laporan kita tidak diambil tindakan yang sewajarnya.

Jelasnya, semasa dalam membuat laporan berkenaan "tertipu" dengan penjualan beli di atas talian, perkataan tipu tidak boleh digunakan kerana sebenarnya tiada elemen jenayah disitu. Mangsa tidak dipaksa, diancam atau diugut keselamatan untuk melakukan transaksi pembayaran kepada pemangsa. Jadi kita perlu perbetulkan penggunaan ayat contoh seperti perkataan "MEMPERDAYA" dan "MENDORONG".

Berikut adalah contoh ayat yang betul semasa membuat laporan,

" saya tertarik dengan iklan penjualan blablabla dan seterusnya menghubungi si polan untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai barangan yang dijualnya. Saya merasakan bahawa si polan telah memperdaya saya dan mendorong saya untuk melakukan transaksi bayaran sebanyak blablabla. Namun setelah saya selesai membuat pembayaran tersebut melalui blablabla, si polan tersebut telah bertindak menyekat saya dari menghubunginya menerusi laman Facebook dan panggilan/sms pun tidak dijawab, blablabla." Dan menurutnya selepas ada dua perkataan memperdaya dan mendorong, baru lah kita boleh menggunakan perkataan tipu, ditipu dan sebagainya.

Saya juga bertanyakan kepada beliau kenapa tidak boleh menggunakan perkataan ditipu terus, jelasnya, itu adalah disebabkan pertuduhan yang melulu sedangkan tiada elemen-elemen jenayah yang berlaku dalam tranksaksi yang dibuat. Mereka juga tidak boleh dikenakan tindakan atau kesalahan kerana mangsa juga tidak diugut, tidak dipaksa, tidak diancam keselamatannya untuk membuat transaksi terbabit. Contoh seperti, saya tulis saya kena tipu, saya juga masih boleh dipersoalkan sebab kaitannya dengan tiada paksaan tadi. Namun jika perkataan memperdaya dan mendorong digunakan semasa membuat laporan, ianya memang ada undang-undang mengenai perkara tersebut. Jadi macam mana pun pihak polis perlu membuat kerja dan menjalankan siasatan yang di mana ianya akan dirujuk kepada Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jadi yang paling penting sekarang ini adalah penggunaan ayat yang betul dalam membuat laporan polis. Ingat kata kunci yang penting "MEMPERDAYA" dan "MENDORONG".

Saya sertakan juga di bawah ini mengenai penerangan ringkas berkaitan Sekyen 420 Kanun Keseksaan.

Penipuan Di Atas Talian Boleh Didakwa Mengikut Seksyen 415, 416, 419, 420 Kanun Keseksaan:

Seksyen 415 iaitu:

Barang siapa yang memperdayakan (deceived) mana-mana orang, sama ada perdayaan itu adalah dorongan yang utama atau tidak;

(a) Secara frod (fraudulently) atau tidak amanah (dishonestly) mendorong orang yang terpedaya itu untuk menghantar sebarang harta kepada mana-mana orang atau memberi kerelaan kepada orang tersebut menyimpan harta itu

(b) Dengan secara berniat mendorong (intentionally induces) orang yang telah terpedaya itu untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa yang dia sepatutnya melakukan atau tidak melakukan jika dia tidak diperdayakan sedemikian dan perbuatan atau ketinggalan itu telah menyebabkan kerosakan atau kecederaan kepada mana-mana orang pada tubuh, minda, reputasi atau harta.

Jelasnya, penipuan berlaku apabila orang yang membuat representasi atau kenyataan mengenai sesuatu fakta itu sendiri tidak mempercayai apa yang dia katakan itu sebagai benar.

Elemen ini dikenali sebagai deception iaitu membuat kenyataan salah sehingga memperdayakan orang yang menerima kenyataan itu sedangkan orang yang membuat kenyataan itu sendiri tidak percaya bahawa ia adalah benar.

Jika tiada harta yang terserah kepada pihak yang satu lagi hukuman boleh dikenakan di bawah seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum PENJARA LIMA TAHUN atau denda atau kedua-dua sekali.

Kesalahan penipuan ini juga boleh dipertanggungkan ke atas orang yang menjadi dalang atau punca penipuan. Dalam konteks ini, sindiket penipuan akan menggunakan pihak ketiga atau ejen untuk melaksanakan rencana mereka.

Walaupun orang tengah itu yang memainkan peranan aktif berkata-kata dan berusaha mendorong mangsa untuk ditipu tetapi kesalahan penipuan ini masih boleh dipertanggungkan ke atas orang memberikan kebenaran kepada ejennya itu untuk melakukan penipuan bagi pihak dirinya.

Dalam Seksyen 416 Kanun Keseksaan sesiapa yang menipu secara menyamar sebagai orang lain selain daripada dirinya sendiri adalah melakukan kesalahan menipu secara menyamar. Hukuman yang boleh dikenakan adalah lebih berat daripada penipuan secara biasa tadi.

Di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan hukuman bagi jenis penipuan secara menyamar ini adalah PENJARA tidak melebihi daripada TUJUH TAHUN atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, jika penipuan yang dilakukan itu mengakibat sebarang harta atau barangan telah terserah kepada satu pihak lain atau telah berlaku kerosakan terhadap sesuatu harta maka hukuman yang lebih berat boleh dikenakan terhadap pesalah. Hukuman boleh dikenakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu PENJARA tidak kurang dari SATU TAHUN dan tidak lebih daripada 10 TAHUN dan hendaklah dikenakan SEBATAN dan juga denda.

Saya mengharapkan kita sebagai pengguna mestilah sentiasa berhati-hati dalam menjalankan urus niaga secara online. Jangan terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan. Selidik terlebih dahulu akan kesahihan sesuatu perkara. Jangan rambang mata dan menyesal kemudian hari.

Semoga maklumat ini dapat memberi manfaat terhadap pengguna dan membantu pengguna yang telah tertipu untuk menuntut keadilan. Sumber: Kamal Affandi Hashim. Editor: Atila Atasha