Isnin, 18 Disember 2017

Gadis Dicabul Ketika Menaiki Eskulator Di Stesen LRT


KUALA LUMPUR -  Seorang wanita dipercayai dicabul semasa berada di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, Kuala Lumpur.

Mangsa, 20 yang juga penuntut politeknik mendakwa bahawa dia telah dicabul oleh seorang lelaki sewaktu menaiki eskulator di stesen terbabit pada jam 7.50 petang.

Pihak polis menerima laporan daripada mangsa yang memaklumkan kejadian jam 10.20 malam pada hari yang sama, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah.

"Pengadu mendakwa semasa berada di eskulator, dia telah disentuh di bahagian kemaluan oleh seorang lelaki dan suspek terus bergerak melarikan diri.

"Namun difahamkan rakan pengadu dikatakan sempat merakamkan gambar suspek.

"Ekoran dari kejadian, pihak polis sudah mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak pengurusan stesen LRT terbabit bagi siasatan lanjut," katanya menerusi satu kenyataan.

Kejadian tersebut turut tular di laman media sosial apabila mangsa dan rakan memuat naik status mengenai kejadian itu di laman twitter serta memaklumkan kepada pihak Prasarana Malaysia Berhad.

Kes dirujuk kepada Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak bagi tindakan lanjut untuk mengenal pasti dan mengesan suspek. Sumber: Harian Metro. Editor: Atila Atasha