Gara-Gara Pukul Perompak Sampai Mati, Lima Lelaki Dihukum Mati


KUALA LUMPUR - Lima lelaki termasuk dua anggota tentera dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh seorang lelaki dalam kejadian pukul di kelab snuker, tahun lepas.

Tertuduh, anggota tentera Mohamad Hairul Abdullah, 35, dan Lawrence Masing, 33, pengawal keselamatan, M.Yogesvaran, 24, pembantu kedai, Zaidi Zainal, 32, serta penyelia kedai emas Chong Kai Weng, 33, dijatuhkan hukuman oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kelima-lima lelaki itu didakwa mengakibatkan kematian terhadap penganggur, Mohd Yusof Abd Khalid, 26, di V-Club Snooker, No. 25&27 Jalan Intan Baiduri 10D, Taman Intan Baiduri, Sentul antara jam 8.30 malam hingga jam 11 malam pada 1 Mei 2016.

Kesemua tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakiman bertulis setebal 245 muka surat, Mohammad Shariff berkata, cerita kononnya kesemua tertuduh ingin menangkap penyamun dan membawanya ke balai polis adalah satu rekaan semata-mata dan mahkamah berpandangan bahawa cerita tersebut adalah satu keraguan fantasi yang tidak menjejaskan kes pendakwaan.

"Manakala gambaran keseluruhan yang dilihat di akhir kes ini adalah tertuduh kedua hingga kelima sememangnya membelasah si mati dengan menendang, menghentak dengan kaki dan tangan secara bertubi-tubi dan sangat ganas.

"Selain itu, tertuduh pertama yang turut berada di tempat kejadian secara niat bersama sengaja membiarkan perlakuan itu berlaku yang mana kecederaan parah itu lazimnya akan menyebabkan kematian. Mereka kemudian membawa keluar si mati dengan kereta dan meninggalkan isteri si mati berseorangan di luar kelab snuker itu," katanya lagi.

Sepanjang perbicaraan kes di peringkat pendakwaan dan pembelaan, mahkamah tidak nampak kewujudan orang lain selain daripada kelima-lima tertuduh, kata beliau.

"Tindakan kelima-lima tertuduh ini telah membatasi sifat-sifat murni kemanusiaan dengan mengambil undang-undang di tangan sendiri.

Jelas Mohamad Shariff,  “kalau pun si mati dikatakan seorang penyamun, tindakan alternatif adalah untuk dibawa ke muka pengadilan dan bukannya mengambil tindakan seolah-olah seekor harimau sedang lapar membaham mangsanya."

Seorang daripada anggota keluarga tertuduh menangis sebaik penghakiman itu disampaikan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli manakala semua tertuduh diwakili oleh peguam M. Jagesh.

Dalam pada itu, seramai 17 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan termasuk kelima-lima tertuduh  dipanggil memberi keterangan semasa perbicaraan kes berkenaan. Sumber: Bernama. Editor: Atila Atasha