Sabtu, 16 Disember 2017

Hajat Tidak Kesampaian

Kredit Photo Harian Metro

KUALA KETIL - Seorang lelaki yang disyaki penagih dadah ditangkap oleh penduduk kampung ketika dikatakan cuba memecahkan kotak Telekom Malaysia (TM) di kawasan sawah padi di Kampung Tembak A, Kuala Ketil, Baling.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, dia telah ditangkap oleh tiga sahabat, Muzammil Yahya, 25, Mahfuz Ahmad, 24 dan Zaffullah Sofiyan, 17 yang dipercayai baru selesai solat Jumaat sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Mereka bergegas ke lokasi selepas diberitahu oleh ibu Muzammil yang ternampak dua lelaki sedang mengetuk kotak TM di sawah kampung berkenaan, kata Mahfuz.

Jelasnya lagi, "apabila tiba di sawah tersebut, kami lihat ada dua lelaki sedang memecahkan penutup simen kotak TM dan cuba lari bila ternampak kami. Seorang daripadanya dapat di tahan di tepi jalan, manakala rakannya berjaya melarikan diri dengan menunggang motosikal.

 Difahamkan, lelaki berusia 20-an cuba memecah kotak TM di kampung berkenaan ketika penduduk menunaikan solat jumaat, kata Ketua Polis Baling, Superitendan Shariffuddin Yusuf.

Katanya, "polis sedang mengesan rakannya yang melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan." Sumber: Harian Metro. Editor: Atila Atasha