Hilang Selama 11 hari, Mayat Dijumpai Tepi Jalan.


KOTA TINGGI - Misteri kehilangan seorang lelaki akhirnya terjawab apabila ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di tepi jalan Kampung baru Sungai Mas selepas dipercayai hilang selama 11 hari.

Mangsa yang dikenali sebagai Chew Kah Chun, 24 dilaporkan hilang selepas dikatakan keluar dari rumah di Taman Kota Jaya, pada 3 Disember lalu.

Dari hasil penemuan mayat itu, polis telah menahan tiga suspek lelaki tempatan sekali gus berjaya menyelesaikan kes tersebut.

"Polis menerima laporan daripada orang awam yang menjumpai mayat tersebut pada jam 11 pagi dan siasatan lanjut polis mengesahkan mayat adalah individu yang dilaporkan hilang pada 3 Disember lalu dan telah disahkan oleh keluarga," kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Ashmon Bajah.

"Satu pasukan khas telah ditubuhkan Ibu Pejabat Polis Daerah dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Johor bermula sejak mangsa dilaporkan hilang.

"Difahamkan sebanyak lima kali tangkapan telah dilakukan sejak kes disiasat di mana terkini pada semalam tiga suspek berusia 25 hingga 29 tahun telah ditahan." katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambahnya lagi, pihaknya akan memajukan kertas siasatan dengan kadar segera kepada pejabat peguam negara untuk pendakwaan. Sumber: Sinar Harian. Editor: Atila Atasha