Isteri Orang Bawa Anak Jumpa Kekasih


SEREMBAN – Tergamak seorang ibu yang membawa anak lelaki berusia empat tahun yang berstatus isteri orang untuk bermalam bersama kekasih hatinya di sebuah hotel bajet di Senawang, Seremban.

Perbuatan wanita berusia 31 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan bersama teman lelaki nya berusia 29 tahun di dalam bilik hotel berkenaan hasil pemeriksaan dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), pada Isnin lalu.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, mereka di antara tujuh pasangan berusia 19 hingga 48 tahun yang ditahan pada malam itu yang di tahan kerana kesalahan percubaan persetubuhan haram.

"Ketika ditahan wanita terbabit mengakui membawa anaknya bermalam di hotel berkenaan kerana dalam proses perceraian dengan suaminya. Terdapat juga pasangan bukan warga negara tetapi warga Bangladesh dan Indonesia yang beragama Islam ditahan melakukan kesalahan sama.

Menurutnya, serbuan dilakukan di tiga lokasi berasingan di Bandar Baru Nilai dan Senawang menerusi Op Bersepadu Krismas yang bermula 9.00 malam hingga 6.00 pagi.

"Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Penguat Kuasa JHEAINS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam operasi dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu, Ahmad Zaki berkata, pihaknya turut menahan lima lelaki beragama Islam kerana disyaki minum minuman keras iaitu arak.

Katanya, semua yang berusia antara 21 hingga 32 tahun terbabit ditahan juga di dua pusat hiburan keluarga di Bandar Baru Nilai.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 78 enakmen sama kerana minum minuman memabukkan," katanya.


Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemeriksaan dan serbuan secara mengejut bagi mengelak ada individu beragama Islam yang melakukan kesalahan mengikut enakmen berkenaan. Sumber: Harian Metro – Editor: Amylea Nazrul