Isu Kem Di Wang Kelian, Ini Jawapan Bukit Aman


BUKIT AMAN – Laporan khas New Straits Times (NST) membuat pendedahan mengejutkan berhubung penemuan ‘Kem Pemerdagangan Manusia’ di kawasan Wang Kelian, Perlis pada 2015.

Unit Komunikasi Korporat mewakili Bukit Aman menjawab 17 persoalan ‘panas’ yang di keudarakan akbar berkenaan.

Berikut adalah jawapan kepada soalan yang ditimbulkan:

Mengapa penemuan kem di Bukit Wang Burma pada 19 Januari dan Bukit Genting Perah pada 13 Mac dirahsiakan?

Tiada apa-apa yang dirahsiakan, terdapat empat laporan dibuat berhubung serbuan di lokasi itu tetapi tidak didedahkan atas sebab keselamatan dan operasi pada waktu itu serta Siasatan dijalankan berdasarkan laporan tersebut.


Di manakah ASP JK sekarang? Beliau individu yang mengetuai serbuan pada 19 Januari itu dan memberi taklimat kepada pihak atasannya pada hari berikutnya.

Walaupun kita tidak pasti siapa ASP JK yang dirujuk dalam soalan ini, namun ada ASP Joe King yang ditugaskan di Batalion 3, Pasukan Operasi Am, Bidor pada 2015 sehingga kini. ASP Joeking yang melakukan serbuan di lokasi itu pada 19 Januari 2015 dan membuat laporan polis pada hari yang sama.


Mengapa polis Perlis mengeluarkan perintah untuk memusnahkan kem itu sehari selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) melaporkan penemuan itu? Siapa yang keluarkan perintah itu? Bukankah ini boleh dianggap sebagai mengganggu bukti di lokasi kejadian jenayah?

Kem itu dimusnahkan atas perintah Timbalan Ketua Polis Perlis sebagai langkah pencegahan untuk mengelak warga asing lain masuk atau memasuki semula kawasan itu dan menggunakannya sebagai pangkalan mereka. Ia bukan keperluan untuk kami memulihara kawasan atau tidak memusnahkan kem berkenaan kerana penilaian kes pada masa itu adalah kesalahan imigresen. Tujuan utama untuk memusnahkan kem itu adalah bagi mengelakkan kawasan itu digunakan sebagai pangkalan oleh pendatang asing.


Bagaimana Ketua Polis Perlis, yang ketika itu hampir bersara, atau timbalannya, bertindak balas apabila penemuan kem pemerdagangan manusia yang luas dan kubur beramai-ramai ini dibawa ke perhatian mereka?

Timbalan Ketua Polis Perlis diberi taklimat berhubung penemuan kem itu pada hari berikutnya, selepas kumpulan pendatang asing ini diserah kepada Jabatan Imigresen. Selepas keluar dari taklimat, beliau mengarahkan supaya kem itu dimusnahkan bagi mengelakkan ia diguna semula oleh pendatang asing.


Mengapa kem itu tidak segera dikepung dan kubur digali semula?

Sebenarnya selepas penemuan itu, seluruh kawasan berkenaan sudah diisytiharkan sebagai zon operasi. Kubur yang dikesan ditandai dan hanya akan digali sebaik semua operasi di kawasan itu berhenti. Hanya selepas kawasan itu diyakini betul, baru pasukan penyiasat dan forensik dibenarkan masuk. Satu perkara lagi, sebelum ini kawasan berkenaan tidak dipantau oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana lokasinya yang begitu hampir dengan sempadan. Oleh kerana itu, langkah berjaga-jaga perlu diambil disebabkan rupa bentuk buminya yang curam dan kemungkinan dipenuhi bahan letupan seperti periuk api atau jerangkap samar. Jadi, anggota mengambil masa untuk menggeledah sepenuhnya kawasan itu dan itulah sebab mayat tidak digali semula.


Apa yang berlaku kepada 38 pendatang asing yang ditahan oleh pasukan serbuan? Bukankah mereka saksi utama?
Semua 38 pendatang asing awalnya dibawa ke Balai Polis Padang Besar, Perlis untuk dokumentasi. Mereka kemudian dibawa menaiki trak polis ke Depoh Tahanan Imigresen di Sik, Kedah dan mereka diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Imigresen.


Mengapa mereka disiasat kerana kesalahan imigresen? Adakah mereka bukan saksi utama?

Merujuk kepada amalan biasa Pasukan Gerakan Am, sebarang pencerobohan di kawasan sempadan tanpa dokumen perjalanan sah akan menjadi suatu kesalahan atau menyalahi undang-undang Imigresen. Oleh itu, pihak yang diamanahkan, melaksanakan prosedur sama untuk mengendalikan kes pencerobohan itu. Oleh itu, dalam kes ini, mereka disiasat atas kesalahan sedemikian dan tidak dianggap sebagai saksi kerana mereka sendiri adalah subjek yang mengingkari peraturan Imigresen. Bagaimanapun, penyiasatan dilakukan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670) yang mana empat orang dituduh dan disabitkan ketika kami sedang mencari 10 lagi suspek, dipercayai rakyat Thailand dan satu rakyat Bangladesh. Permintaan ekstradisi sudah dibuat melalui Pejabat Peguam Negara.

Itu berdasarkan risikan dan kami tidak mempunyai obligasi untuk mendedahkannya. Bagaimanapun, PGA mengendalikan dan menguasai kawasan itu sejak 19 Januari hingga semua mayat digali. Oleh itu, tidak ada akses ke kawasan berkenaan sejak hari itu. Setakat ini, berdasarkan kepada pihak yang terbabit dengan serbuan, tiada ahli sindiket dilihat pada masa itu dan semua pendatang asing tidak terlepas dari ditangkap. Terdapat beberapa individu berjaya meloloskan diri ke sempadan Thailand, berkemungkinan individu yang mendalangi warga asing ini, namun lokasi kem berkenaan sangat berhampiran dengan sempadan Malaysia-Thailand yang tidak mempunyai tanda sempadan jelas, menyebabkan ia sukar kepada pasukan serbuan meneruskan dan menyiasat lebih lanjut jika terdapat mana-mana pihak lain yang sudah keluar dari kawasan.

Susulan penemuan kem di Bukit Wang Burma, mengapa PGA tidak membuat pemeriksaan di seluruh kawasan bagi melihat kemungkinan ada kem lain?

Kami lakukan, Ia adalah rizab hutan, Oleh itu, kita perlu melakukannya dengan berhati-hati kerana ia begitu dekat dengan sempadan antarabangsa serta terdapat jerangkap samar yang boleh membahayakan anggota kita.


Mengapa ada laporan berbeza tentang apa yang berlaku ketika serbuan pada 19 Januari di Wang Burma?

Cerita berbeza ketika operasi adalah susulan jenis pendekatan taktikal yang digunakan PGA berlainan antara satu sama lain, selaras pelaksanaan agensi, untuk memahami pendekatan taktikal, seseorang harus terlebih dahulu memahami topografi kawasan itu. Dalam hal ini, kawasan yang bersempadan dengan Thailand terletak di lokasi lebih tinggi (atas bukit) dan Malaysia di kawasan rendah. Dengan keadaan ini, PGA mengarahkan lapan anggota menggeledah kawasan lebih tinggi sementara selebihnya ditempatkan di kedudukan rendah (bukit).


Semua penduduk tempatan yang menjadi sebahagian daripada sindiket sudah dikenal pasti. Adakah mereka sudah diberkas?

Ya, mereka sudah dikenal pasti, siasatan lanjut mendedahkan bahawa semua identiti tidak dapat dikenal pasti lagi kerana mereka menggunakan nama panggilan.


Adakah pegawai polis yang disyaki bersekongkol dengan sindiket diambil tindakan mengikut undang-undang atau mereka 'didisiplinkan' secara dalaman?

Tidak ada bukti untuk menunjukkan ada pegawai polis yang terbabit dengan sindiket dalam kes ini.


Ada sekurang-kurangnya dua mesyuarat jawatankuasa sempadan Thailand-Malaysia selepas serbuan 19 Januari. Adakah sebarang penemuan tidak dibincangkan?

Terdapat mesyuarat susulan daripada isu ini namun kami tidak dapat mendedahkannya.


Adakah tiada kebenaran dalam pendedahan NST? Atau Bukit Aman menyembunyikan sesuatu berhubung penemuan kem itu apabila menyatakan pada 25 Mei, polis tidak menemui kem sebelum Mei.

Pendedahan NST membawa perkara tertentu dalam isu yang mana tidak didedahkan pada masa itu disebabkan alasan keselamatan. Bagaimanapun, selepas penemuan kem lain pada Mei 2015, kedua-dua pihak, polis Thailand dan Malaysia memutuskan untuk menjalankan siasatan penuh mengenai kemungkinan wujudnya aktiviti pemerdagangan manusia. Oleh itu, Bukit Aman tidak pernah menyembunyikan sebarang penemuan itu.


Mengapa 300 komando VAT69 dihantar pada misi 11 Mei untuk mencari dan mengesahkan kewujudan kem ini di bawah Op Wawasan Khas, biarpun sudah ada bukti fotografi serbuan pada 19 Januari itu?

Anggota ini dihantar ke sana untuk melakukan penggeledahan di kawasan Genting Perah dengan kerjasama Thailand yang juga membuat pemantauan di sempadan mereka. Selain itu, mereka juga ditugaskan mengenal pasti dan menanda kubur besar di lokasi itu, sebagai pendekatan tambahan oleh pasukan untuk memastikan kawasan itu dibersihkan daripada sebarang jerangkap samar atau ancaman keselamatan sebelum diserah kepada pasukan penyiasatan. Anggota komando ini dikerah kerana kepakaran mereka dalam lokasi dan keadaan yang tidak dapat dilakukan oleh anggota polis biasa.

Adakah Polis Perlis tahu bahawa selepas serbuan pada 19 Januari, kem itu masih beroperasi? Pada sidang akhbar 25 Mei, pihak berkuasa mengesahkan bahawa kawasan itu hanya dikosongkan tiga minggu sebelum itu.

Kem berkenaan beroperasi sehingga serbuan 19 Januari. Selepas itu, kawasan itu tidak lagi dihuni. Maklumat yang menyatakan kem itu dikosongkan tiga minggu sebelum 25 Mei adalah palsu kerana kawasan ini sentiasa berada di bawah kawalan PGA.


Adakah individu di sebalik jenayah kejam terhadap manusia ini akan mendapat balasan dan lelaki, wanita serta kanak-kanak yang meninggal dunia kerana cuba mendapatkan peluang hidup kedua akan memperoleh keadilan?


Sudah tentu. Tidak kira siapa mereka, mereka akan dibawa ke muka pengadilan - Sumber: Metro, Editor: Atila Atasha