Isnin, 4 Disember 2017

Izreen Lega Diterima Intan Liana Sebagai Madu


Pelakon Izreen Azminda mengakui lega apabila mengetahui wanita yang juga merupakan isteri pertama suaminya, Intan Liana sudi menerima dirinya sebagai madu.

Pelakon itu juga menyatakan yang dia bersedia untuk bertemu dan menjalin hubungan baik dengan isteri pertama suaminya itu dan berharap mereka dapat menjalani kehidupan seperti satu keluarga.

Katanya, "Alhamdulillah, saya lega apabila mengetahui Intan Liana sudi menerima saya sebagai madunya dan saya berharap kami dapat berkongsi hidup seperti satu keluarga. Saya juga bersedia untuk bersemuka dengannya untuk menjalin hubungan baik."

"Saya minta maaf dan tidak bermaksud mahu menimbulkan spekulasi mengenai status perkahwinan kami pada sebelum ini. Ramai yang bertanya tetapi saya terpaksa mendiamkan diri kerana menunggu masa yang tepat dan sesuai untuk menjelaskan segala-galanya, jelas Izreen.

Sebagai wanita yang pernah melalui kekecewaan dalam kehidupan berumah tangga sudah tentu Izreen tidak akan rela menghancurkan hati wanita lain namun takdir sudah tertulis apabila terpaksa berkongsi kasih seorang suami. Izreen juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang melabelkan dirinya sebagai perampas.

Jelasnya, "saya sekadar menumpang kasih dan tidak pernah sesekali berhasrat untuk merampas serta meruntuhkan kebahagiaan suami dan isteri pertama.

“Saya tidak sekejam itu, malah saya tidak akan membenarkan suami meninggalkan isteri pertama semata-mata untuk bersama saya.

"Namun saya kecewa dengan cemuhan yang dilemparkan oleh netizen. Mereka menjatuhkan hukuman tanpa mengetahui cerita sebenar. Saya akur pilihan menjadi isteri kedua menuntut pengorbanan besar dan saya sedia untuk beralah dan bertimbang rasa kerana sedar kedudukan diri,” katanya. Sumber: Malaysian Digest. Editor: Atila Atasha
loading...