Kemalangan Kereta Dan Lori, Dua Rentung


MELAKA - Dua orang maut apabila kereta yang dinaikinya terbakar selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 202.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Ayer keroh.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, kedua-dua mangsa yang masih belum dikenal pasti identiti dikatakan gagal untuk menyelamatkan diri selepas kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mangsa terperosok di bawah lori muatan hampas soya.

Pihaknya menerima panggilan mengenai insiden tersebut pada jam 10.55 malam, kata Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba Mohd. Hafidzatullah Rashid.

Difahamkan, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dan 'water tanker' seramai enam anggota yang terlibat dalam operasi tersebut.

Katanya dalam satu kenyataan, "berdasarkan maklumat terdapat sebuah kereta dipercayai terperosok di bawah lori dan dua mangsa rentung manakala kereta terbakar seratus peratus."

Selama hampir empat jam untuk mengeluarkan mangsa tersebut dengan mangsa pertama yang juga pemandu dapat dikeluarkan pada jam 3.05 pagi manakala mangsa kedua 20 minit kemudian.

Sejak kini, identiti kedua-dua mangsa tersebut masih belum dikenal pasti.

Dalam pada itu, mayat kedua-duanya telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat. Sumber: Kosmo Online. Editor: Atila Atasha