Isnin, 11 Disember 2017

Lelaki Bunuh Ibu Dan Datuk Kerana Harta



AMERIKA SYARIKAT - Seorang lelaki berusia 23 tahun didakwa membunuh ibu dan datuknya semata-mata  mahu membolot harta pusaka bernilai AS$28 Juta (RM118 juta).

Tertuduh, Nathan Carman, dituduh menggerudi beberapa lubang pada bot yang dinaikinya bersama ibunya, Linda Carman ketika di dalam perjalanan untuk menangkap ikan di Pulau Rhode pada 17 September tahun lalu, lapor Mail Online.

Kejadian tersebut telah menyebabkan Linda mati lemas, manakala Nathan pula berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan sebuah rakit dan telah diselamatkan seminggu selepas ditemui terapung di Laut Atlantik.

Difahamkan, pada ketika itu Nathan tidak ditahan polis selepas memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui apa yang terjadi ke atas ibuya kerana menurutnya dia pengsan selepas dihanyutkan oleh ombak besar.

Namun beberapa peguam yang mewakili syarikat bot berkenaan mendakwa Nathan dipercayai menggunakan sejenis peralatan berkuasa tinggi bagi membesarkan lubang yang ditemui di bawah bot berkenaan.

Menurut dokumen Mahkamah, "tindakan itu juga menjadi punca utama bot tersebut karam dan menyebabkan kematian Linda."

Dalam pada itu, Nathan juga turut menjadi suspek utama dalam kematian datuknya, John Chakalos, 87 yang juga seorang pemaju hartanah yang ditembak mati di Connecticut pada tahun 2013.

Hakim Mahkamah Majistret AS, Patricia Sullivan mengarahkan Nathan supaya menye­rahkan maklumat mengenai selaras raifal separa automatik yang dimilikinya.

Tuntutan mahkamah yang dikemukakan ke atas Nathan menyatakan dia telah membeli selaras raifal yang kemudiannya digunakan untuk membunuh datuknya, Chakalos.

Ekoran kejadian itu, tiga anak perempuan Chakolas terbabit telah memfailkan perintah mahkamah bagi mengelakkan Nathan untuk mewarisi segala kekayaan ibu dan datuknya yang bernilai AS$29 juta. Sumber: Agensi.