lima sekeluarga maut


SEGAMAT - Lima sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Viva dan bas ekspres di KM178 Persimpangan Melayu Raya di Labis.

Mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan wanita dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan serta seorang bayi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Bandar Baharu Segamat, Mohd Aizad Mamat ketika dihubungi berkata bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 6.11 petang tadi dan jentera membabitkan lapan anggota termasuk pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.

Menurutnya sebaik tiba di lokasi kejadian didapati tiga mangsa termasuk seorang lelaki dan seorang wanita dewasa disahkan meninggal dunia akibat tersepit di tempat duduk hadapan.

Manakala seorang kanak-kanak yang duduk di bahagian belakang juga ditemukan meninggal dunia, katanya.

"Seorang kanak-kanak dan bayi perempuan yang duduk di belakang berada dalam keadaan kritikal dan dibawa ke Hospital Segamat, namun bayi itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan

Tambahnya, mereka masih memantau perkembangan mangsa kanak-kanak perempuan yang kritikal itu.

"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pasukan perubatan," kata Mohd Aizad.

Siasatan awal mendapati bahawa kereta itu dikatakan dari arah Segamat ke Johor Bahru secara tiba-tiba berpusing beberapa kali dan telah masuk ke laluan bersebelahan lalu bertembung dengan bas ekspres dari arah bertentangan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Raub Selamat. Sumber: Astro Awani. Editor: Atila Atasha