Sabtu, 16 Disember 2017

Miss Iraq Terima Padah Swafoto Bersama Miss Israel.


Miss Iraq dan keluarga terpaksa meninggalkan negara itu susulan kemarahan di Baghdad gara-gara bergambar swafoto bersama ratu cantik Miss Israel.

Difahamkan, baru-baru ini telah dianjurkan pertandingan ratu cantik Miss Universe dimana Sarah Idan bersama Adar Gandelsman dari Israel yang mewakili negara masing-masing yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS).

Idan dikatakan memuat naik gambar swafoto itu di akaun Instagramnya dengan rujukan sebagai mempromosikan 'kedamaian dan cinta'.

Namun tindakan tersebut telah mencetuskan kekecohan di laman media sosial.

Gambar tersebut telah membangkitkan kemarahan orang ramai sehingga memaksa keluarga Idan ke luar negara dalam ketakutan, kata Gandelsman kepada Israeli TV.

Katanya, ramai yang bertindak mengancam dia dan keluarganya sekiranya dia tidak pulang ke rumah dan memadamkan gambar tersebut serta mereka akan menarik balik gelaran Miss Iraq.

Mereka juga mendakwa akan membunuhnya.

Jelasnya lagi, "dalam ketakutan, mereka meninggalkan Iraq sekurang-kurangnya sehingga keadaan kembali tenang."

Idan yang kini menetap di AS memutuskan untuk memuat naik gambar tersebut bagi menunjukkan 'kemungkinan untuk hidup bersama'.

Sementara itu gambar tersebut telah mendapat berbagai reaksi negatif daripada netizen di negara yang tidak mengiktiraf Israel kerana sedang menghadapi konflik perang. Sumber: Mail Online. Editor: Atila Atasha