Jumaat, 15 Disember 2017

Pencuri Biadap!!


PASIR MAS - Seorang lelaki dipercayai melarikan dompet berisi RM60 dan telefon bimbit selepas bertindak biadap dengan melompat di badan salah seorang jemaah wanita yang sedang bersujud ketika solat subuh di Masjid Kasar, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.55 pagi itu, lelaki tersebut bertindak melompat di badan seorang wanita pada saf kedua sebelum mencapai dompet dan telefon bimbit milik seorang wanita berusia 60-an yang diletakan di hadapan sejadah pada saf pertama.

Tindakan itu dilihat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan seakan sudah dirancang kerana pada awalnya suspek berada di ruang solat lelaki, kata Bendahari Masjid, Said Kamaruzaman.

Katanya, sebaik sahaja jemaah lelaki mula solat, lelaki itu terus pergi ke ruang solat wanita sebelum melarikan barangan kepunyaan seorang jemaah.

"Namun berdasarkan rakaman, lelaki yang tidak dikenali pada mulanya nampak seperti bersiap-siap untuk solat Subuh bersama jemaah lain, namun sebaik pada rakaat pertama dia memasuki ke tempat wanita," katanya lagi.

Jelas Said lagi, kejadian itu jarang berlaku tetapi ada kes kehilangan motosikal dan kereta di kawasan masjid berkenaan yang dirakam melalui CCTV.

Rakaman video itu tular di media sosial sejak petang semalam dan dimuat naik oleh salah seorang ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

Beliau juga meminta orang ramai supaya berhati-hati dengan kejadian itu agar tidak berulang lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh ketika dihubungi memaklumkan beliau belum menerima laporan berkaitannya. Sumber: Berita Harian. Editor: Atila Atasha