Selasa, 12 Disember 2017

Pencuri Dah Bertaubat, Ingin Pulangkan Barang Curi, Tuan Punya Barang Dah Meninggal.


Bagaimana hendak memulangkan barang orang yang kita ambil atau kita curi dari seseorang, jikalau tuan yang punya barang telah berpindah atau tidak dapat dikesan lagi atau telah kembali ke rahmatullah (meninggal) ? Adakah taubat kita di terima sedangkan barang curi tersebut masih kita miliki?

Jika mengambil barang kepunyaan orang (mencuri) maka wajib dipulangkan kepada yang berhak dan memohon maaf sekiranya ingin bertaubat.

Tetapi jika perbuatan tersebut boleh mendatangkan mudharat dan orang tersebut tahu kita yang mencurinya, maka pulangkan secara pos dan tentu tiada yang tahu siapa pengirimnya.

Jika pemilik barang sudah meninggal dunia atau sudah berpindah, tidak dapat di cari, maka gantikan jumlah barang yang dicuri itu dengan wang dan infakkan wang tersebut kepada sekolah agama atau rumah anak yatim yang sedang dalam pembinaan sebagai sedekah jariah dan di Niatkan untuk orang tersebut (barang yang telah kita ambil darinya).

Taubat tersebut baru sah jika kita berusaha untuk mengembalikan hak tersebut.

Jika kita ambil tanah orang, maka pulangkan kepada warisnya. (walaupun sejengkal tanah)

Syarat-syarat taubat :

1. Ikhlas ingin bertaubat.
2. Bertekad di dalam hati tidak akan sesekali mengulangi perbuatan dosa itu lagi.
3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
4. Dilakukan sebelum ajal tiba.
5. Lakukan solat taubat nasuhah

Walau bagaimanapun, kita adalah hamba yang lemah tetap lemah sampai bila-bila, sekalipun berazam dan sentiasa penuh dengan keazaman cuba dengan sedaya-upaya untuk ‘tidak akan mengulangi perbuatan yang serupa (mencuri)’ tetapi merasakan diri telah berdosa, maka sentiasalah setiap kali selepas solat fardhu atau pada bila-bila masa sahaja, bertaubat dengan mengucapkan kata-kata memohon keampunan kepada Allah SWT dengan hati yang tulus ikhlas.

Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan.

Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Masa (waktu) Melaksanakan Taubat :

Taubat tidak boleh dilewat-lewatkan atau ditunda-tunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan hati sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran (hati akan menjadi hitam).


Oleh itu adalah menjadi kewajipan kepada setiap mukmin untuk segera bertaubat pada bila-bila masa sahaja. Ini kerana kita tidak tahu bila kita akan kembali mengadap (mati) ke hadrat Allah SWT, bila-bila masa sahaja akan berlaku. Mudah-mudahan Allah SWT akan menerima taubat yang kita lakukan. Wallahu a’lam. Sumber: infoje.com : Editor : Mib