Jumaat, 8 Disember 2017

Pengetua Lakukan Kelucahan Melampau Terhadap Empat Pelajarnya.


TAWAU - Seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga merupakan seorang bekas pengetua madrasah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di atas empat pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap empat bekas pelajarnya yang berumur di antara 14 hingga 15 tahun pada tahun lalu.

Tertuduh, Maznan Omar mengaku tidak bersalah di atas semua empat pertuduhan yang dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap empat pelajar lelaki di dalam sebuah rumah di Bandar Sri Indah di Tawau pada Jun dan Ogos 2016.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ferhanshah Farene membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000.

Beliau turut memerintahkan lelaki itu perlu melaporkan diri sekali sebulan kepada pegawai penyiasat kes dan tertuduh tidak boleh menghubungi saksi atau mangsa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 Disember ini untuk pengurusan kes serta lantikan peguam. Sumber: Harian Metro. Editor: Atila Atasha
loading...