Sabtu, 2 Disember 2017

Presiden Amerika Syarikat Dijangka Iktiraf Jerusalem Sebagai Ibu Negara Israel.


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijangka akan membuat pengumuman pada minggu depan untuk mengiktraf 'Jerusalem' sebagai ibu negara Israel, ujar pegawai pentadbir kanan.

Namun langkah itu disifatkan bakal mengubah polisi AS selain berkemungkinan meningkatkan ketegangan di Asia Barat, lapor Reuters.

Difahamkan, Trump dijangka akan membuat pengiktirafan kontroversi itu pada hari Rabu, walaupun beliau cenderung untuk melengahkan lagi janji kempennya, iaitu mahu memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jerusalem.

Namun bagi umat Islam sedunia, 'Jerusalem' adalah nama yang tidak diiktiraf sebaliknya mahu terus mengekalkan kedaulatan dan kebebasan Baitulmaqdis.

Sementara itu, rakyat Palestin juga mahu Baitulmaqdis menjadi ibu kota negara mereka, Namun dalam pada masa yang sama, komuniti antarabangsa juga tidak mengiktiraf tuntutan Israel ke atas semua bahagian kota itu, yang dihuni bersama oleh penganut Islam, Yahudi dan Kristian.

Berita tentang pengumuman Trump itu ternyata berbeza dengan pendirian presiden-presiden AS sebelum ini yang menegaskan status kota itu perlu diputuskan secara rundingan.

Selain mengundang kritikan daripada pihak berkuasa Palestin dan negara-negara Arab, perkembangan itu juga mendedahkan ketidaktentuan usaha diplomatik pentadbiran AS yang diketuai oleh menantu yang juga penasihat kanan Trump yang kurang berpengalaman, iaitu jared Kushner.

Nabil Abu Rdainah selaku Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata pengiktirafan 'Jerusalem' sebagai ibu negara Israel akan 'memusnahkan proses keamanan' dan menjejaskan kestabilan serantau.

Namun langkah tersebut dilihat hanya akan memuaskan hati golongan pro-Israel, iaitu kumpulan penyokong yang telah membantu Trump memenangi pilihan raya presiden.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi tentang rancangan pengumuman pengiktirafan tersebut daripada pegawai atasan White House. Sumber: Astro Awani. Editor: Atila Atasha
loading...