Selasa, 5 Disember 2017

Remaja Hilang, Skuter Ditemui Di Tepi Jalan


PAHAT – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dalam perjalanan untuk menghadiri Ujian Berkomputer Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hilang, dengan skuternya ditemui di persimpangan masuk Estet River, Yong Peng.

 Skuter yang dinaiki mangsa Nur Aliyah Haslan ditemui kira-kira tiga kilometre dari rumahnya di Taman Berjaya, Yong Peng dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi.

Kata bapa mangsa, Haslan Hamid, 45, anak sulungnya itu dalam perjalanan ke rumah rakan bagi menemakan menghadiri ujian berkenaan.

Beliau juga yang bertugas di Kuala Lumpur itu sempat menelefon anaknya kira-kira jam 6 pagi untuk solat Subuh selain menasihatkannya supaya cuba menjawab ujian berkenaan sebaiknya selepas gagal dalam dua ujian sebelum ini, katanya.

"Malah 15 minit sebelum Nur Aliyah keluar rumah, dia sempat menghantar Whatsap memaklumkan akan menjemput kawannya dahulu sebagai teman selain meminta saya mendoakannya supaya lulus dalam ujian kali ini.

"Namun kira-kira jam 9.30 pagi, saya dihubungi oleh Balai Polis Yong Peng memaklumkan bahawa skuter ditunggangi anak ditemui orang awam di persimpangan masuk Estet River. Malah, cubaan untuk menghubungi telefon bimbitnya gagal.

"Pihak JPJ Batu Pahat turut mengesahkan anak saya tidak hadir dalam ujian berkenaan dan rakannya juga memaklumkan anak saya tidak datang menjemputnya bagi menemankan ke ujian berkenaan.

"Namun yang lebih merisaukan kami sekeluarga apabila rakan anak saya yang bekerja bersamanya di sebuah restoran makanan segera di Yong Peng, memaklumkan dia pernah mengadu diekori orang tidak dikenali beberapa hari lalu namun tidak pula memaklumkan kepada kami sekeluarga," katanya.

Anak sulungnya itu seorang yang berdikari dan baru berkhidmat secara separuh masa di restoran makanan segera berkenaan cuti sekolah ini bagi mencari pengalaman dan wang saku, kata bapa mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa mengesahkan kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat mangsa diminta segera menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat atau balai yang berhampiran. Sumber: Berita Harian. Editor: Atila Atasha




loading...