Rumah Terbakar, Seorang Lelaki Rentung


TELUPID -  Sebuah rumah musnah dalam kebakaran menyebabkan seorang lelaki ditemui rentung di Kampung Barayong Torodon, Telupid.

Dalam kejadian jam 10 malam itu itu, mangsa, Juny Ambilai, 44, ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumahnya.

Pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 10.10 malam, kata Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kinabatangan, Pegawai Bomba Kanan Dua Rosmadian Majid.

Difahamkan, sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba Kinabatangan dibantu lapan anggota dari Balai Bomba Beluran diarahkan ke lokasi, kata Rosmadian.

Jelasnya, "perjalanan mengambil masa agak lama kerana jarak antara balai bomba dan Kampung Barayong Torodon ialah 133 kilometer."

"Namun setibanya di tempat kejadian, rumah kayu tersebut sudah terbakar keseluruhannya," katanya lagi.

Manakala kebakaran tersebut dapat dikawal pada jam 12.50 pagi tadi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.10 pagi tadi. Sumber: Berita Harian. Editor: Atila Atasha.