Sajat - Mana Ada Operate Muka, Saya Hanya Sakit Gigi


Pengusaha kosmetik Nur Sajat Beautician (Beauty and SPA) yang popular dengan pangilan Sajat menafikan tuduhan liar netizen yang mendakwa, dia membuat pembedahan di bahagian wajah untuk kelihatan lebih cantik.

Viral netizen bermula apabila Sajat memuat naik foto wajahnya yang kelihatan agak bengkak di bahagian bibir.

“Saya melakukan proses ‘crowning’ gigi, Proses itu sangat rumit, Saya pula seorang yang sensitif, bayangkan jika saya sakit gigi pun boleh bengkak satu muka, apatah lagi apabila melakukan proses ‘crowning’.

“Sebab itu wajah saya kelihatan agak bengkak kerana sedang mengalami kesakitan.

“Proses itu melibatkan 20 batang gigi, saya bukannya buat muka atau melakukan pembedahan.

“Saya hanya buat rawatan wajah sahaja menerusi bisnes yang saya usahakan di Nur Sajat Beautician dan Nur Sajat Aesthetics, tiada pembedahan pun,” kata Sajat ketika ditemui di majlis pelancaran single Jangan Nak Tegur.

Menerusi lagu tersebut, Sajat berduet bersama Datuk Seri Aliff Syukri.

“Pada awalnya, saya terkejut apabila mendapat tawaran pihak KRU untuk berkolaborasi dengan Aliff Syukri dalam single itu.

“Saya bukan seorang penyanyi dan saya tanyakan kepada mereka, adakah mereka tidak takut dikecam apabila melibatkan saya dalam lagu tersebut.


“Apabila pihak mereka memberikan kata dorongan, saya mengambil kesempatan ini dan menganggap ini adalah peluang untuk saya melebarkan lagi nama saya sebagai sebuah jenama,” katanya lagi.Editor: Atila Atasha