Khamis, 14 Disember 2017

"Bilis Mabuk Laut".......

Kredit Photo Sinar Harian

KOTA BHARU - Seorang peniaga ikan bilis dan makanan kering di Pasar Siti Khadijah, dikatakan meletakkan nama jenis ikan bilis dengan nama unik termasuk nama selebriti dan artis terkenal dan tidak menyangka bahawa ideanya itu mendapat sambutan ramai.

Beliau yang dikenali sebagai Hafiz, 23 itu berkata, nama-nama ikan bilis yang unik itu untuk menarik perhatian pelanggan dan mudahkan pelanggan memilih jenis-jenis ikan bilis yang mereka inginkan.

Antara nama ikan bilis yang mendapat sambutan adalah 'Sajat Wanita Terakhir', 'Mata Fazura', 'Bilis Sado', 'Bilis Koya Comel', 'Bilis Mabuk Laut', 'Bilis Donald Trump', 'Bilis Tak Tun Tuang Tak Mandi Lagi', 'Bilis Pyan Kpop', dan 'Bilis Datuk Vida'.

Jelasnya, "pada mulanya, saya hanya sekadar suka-suka meletakkan nama begitu kerana mahu beri kelainan dan ternyata ia memberi tarikan."

"Nama-nama itu saya pilih kerana ia merupakan nama yang menjadi sebutan ramai dan mudah diingati."

"Namun selepas sebulan, perniagaan saya semakin baik, jika pada sebelum ini saya memperoleh RM300 hingga RM400 sehari, tetapi kini jualan semakin bertambah sehingga RM800 hingga RM1,000 sehari," katanya lagi.

Dia juga tidak sangka bahawa ianya menjadi tular dan kini mendapat liputan dan ada juga pelanggan yang mahu ambil gambar walaupun tak beli.

Jelas Hafiz, apa pun dia tidak mempunyai niat lain dan hanya mencurahkan kreativitinya.

“Bahkan saya bukan untuk meraih populariti tetapi mahu memudahkan pelanggan memilih jenis ikan bilis yang mahu dibeli.

“Malah ada pembeli memuji cara begini kerana mudah diingati,” katanya yang telah mengusahakan perniagaan itu sejak dua tahun lalu.

Setakat ini, ikan bilis yang menjadi pilihan pelanggan adalah bilis 'Berlagak Kaya' dan 'Bilis Tak Tun Tuang Belum Mandi Lagi'. Tambah Hafiz lagi.

"Pada kebiasaannya harga bilis ini sekitar RM16 dan ada juga yang mencecah sehingga RM65 sekilogram bergantung kepada kualiti ikan bilis yang dijual.

"Bagaimanapun saya harap jualan saya akan lebih maju selepas ini. Ini merupaka perniagaan warisan keluarga dan saya juga turut menjual keropok dan serunding selain daripada ikan bilis," katanya.

Ikan bilis tersebut boleh dibeli di tingkat dua di Pasar Khadijah. Sumber: Sinar Harian. Editor: Atila Atasha.