Sara Keluarga Dari Hasil Dadah


BAHAU - Dengan hasil jualan dadah, lelaki yang dipercayai menyara keluarganya ditahan polis di rumahnya di Rumah Rakyat Bahau, Negeri Sembilan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, suspek berusia 29 tahun terbabit tidak bekerja dan menjadikan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan sebagai mata pencariannya.

“Pihak polis menerima maklumat dari orang awam mengenai kegiatan suspek dan menjalankan risikan sebelum menyerbu rumahnya pada 2.30 petang semalam.

“Suspek yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri namun berjaya diberkas. Hasil pemeriksaan menemui tujuh bungkusan dadah jenis heroin seberat 10.3 gram di dalam poket seluar suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Suspek mendakwa menjual dadah kerana mahu mendapatkan wang cara mudah berbanding kerja makan gaji.  Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau di reman tujuh hari bermula semalam sehingga Khamis ini mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Sumber: Harian Metro – Editor: Amylea Nazrul