Rabu, 13 Disember 2017

Suami Ditahan Serang Tikam Anak Berusia 1 Tahun Dan Isteri


MELAKA- Seorang lelaki ditahan pihak polis kerana disyaki mencederakan isteri dan dua anak mereka dengan sebilah pisau selepas perselisihan faham di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel di sini, pagi semalam.

Sepasukan anggota polis telah menahan suspek yang berusia 33 tahun itu di depan sebuah hotel di Jalan Gajah Berang, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek dikatakan bertengkar dengan isterinya selepas dimarahi kerana tidak bekerja dan sering menagih dadah.

Suspek kemudian bertindak mengambil sebilah pisau pemotong sayur di dapur lalu melibas ke arah isterinya yang sedang mendukung anak lelaki mereka.

Isteri suspek berusia 26 tahun cedera dan menerima 17 jahitan di lutut, jari dan kepala, manakala anak berusia setahun itu menerima 13 jahitan di kepala dan tengkuk.

Sementara itu, seorang lagi anak lelaki mereka yang berusia lima tahun turut cedera di bahagian perut akibat dilibas dengan pisau yang sama.

Siasatan awal mendapati selepas kejadian tersebut, suspek menghubungi ibu mentuanya supaya datang ke rumah untuk membawa ketiga-tiga mangsa ke Hospital Melaka, kata Ketua Polis Daerah Jasin, Superitendan Arshad Abu.

Anak suspek yang berusia setahun ditahan di Hospital Melaka susulan kecederaan di kepala dan sehingga jam 5 petang tadi keadaannya dilaporkan stabil, kata beliau.

Katanya ketika dihubungi, "polis kini sedang mengesan senjata yang digunakan oleh suspek. Suspek akan dibawa di Mahkamah Majistret Jasin esok bagi mendapatkan perintah reman dan akan kes akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan." Sumber: Berita Harian Online. Editor: Atila Atasha