Video Dan 7 Gambar Tiga Penjenayah Gang Kongsi Gelap 24 Ditembak Mati Polis


GOMBAK - Tiga penjenayah ditembak mati oleh pihak polis dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Sungai Tua, Hulu Yam Bharu, Batu Caves.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, ketiga-tiga suspek yang menaiki kereta jenis Suzuki Swift berwarna putih pada mulanya dikesan berlegar di sebuah pusat komersial di Bandar Baru Selayang.

Berikutan maklumat risikan, polis daerah Gombak memaklumkan kepada semua pasukan dan unit peronda yang berada di lapangan untuk menahan kesemua suspek.

Kesemua suspek berusaha melarikan diri dengan memecut kenderaan mereka sebaik menyedari kehadiran pihak polis.

Sepasukan anggota polis yang menaiki dua buah kenderaan berjaya mengepung kenderaan yang dinaiki suspek selepas lebih 30 minit mengejar di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Bandar Baru Selayang.

Kesemua suspek diminta menyerah diri namun apabila menyedari mereka terkepung, seorang suspek bertindak nekad melepaskan sedas tembakan ke arah polis, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC) Fadzil Ahmat yang kelihatan turut hadir di lokasi kejadian.

Katanya, "anggota kita tiada pilihan lain selain membalas tembakan ke arah mereka untuk mempertahankan diri menyebabkan ketiga-tiga suspek mati ditembak kejadian."

Jelasnya, "dari hasil pemeriksaan pihak polis menemukan sepucuk pistol jenis Beretta .22 dan dua bilah parang dalam kenderaan suspek."

Namun buat masa ini pihak polis belum dapat memastikan identiti kesemua suspek kerana tiada dokumen pengenalan diri yang ditemui tetapi mereka dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an, katanya lagi.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dengan beberapa kes samun keluar bank yang dilaporkan berlaku di sekitar Selangor.

"Kita masih meneruskan siasatan berkaitan beberapa kes yang membabitkan kumpulan ini, katanya. Editor: Atila Atasha