Jumaat, 8 Disember 2017

Video Kejam, Remaja Dipukul Hingga Maut Kerana Dituduh Curi Duit Datuknya


MELAKA - Seorang remaja berusia 16 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka, malam kelmarin,  selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah hentian bas di Ayer Keroh.

M.Arunasalam yang merupakan seorang pelajar dari Taman Tangkak Jaya, Tangkak, Johor, ditemui oleh dua orang awam sebelum membawa mangsa ke Jabatan Kecemasan, Hospital Melaka.

Mangsa yang dirawat di zon merah diberi bantuan pernafasan kira-kira 30 minit sebelum disahkan meninggal dunia, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim.

"Mengikut pemeriksaan ke atas mangsa menemui kesan lebam dan birat di kedua-dua belah tangan serta belakang badan mangsa.

"Dan tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mangsa yang lengkap berpakaian," katanya ketika dihubungi petang ini.

Difahamkan, mayat mangsa masih berada di Jabatan Forensik bagi proses bedah siasat.

Namun terdapat beberapa individu yang dipercayai ahli keluarga mangsa yang turut berada di lobi Jabatan Forensik, tetapi enggan ditemu bual.

Siasatan lanjut dan punca kejadian masih disiasat, kata Kamaluddin.

"Polis sudah mengambil beberapa keterangan saksi termasuk ibu mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Sejak daripada semalam, terdapat tiga video berdurasi kira-kira seminit setiap satu tersebar luas di Facebook yang memaparkan seorang remaja lelaki dipukul kerana dipercayai mencuri duit datuknya.

Dalam video berkenaan, remaja yang tidak berbaju itu dilihat dipukul menggunakan getah paip sambil merayu dan menangis.

Kamaluddin berkata, pihaknya sedang menyiasat kesahihannya mengulas kandungan video berkenaan. Sumber: Berita Harian. Editor: Atila Atasha



loading...