Sabtu, 9 Disember 2017

Video Wanita Di Klang Diculik Sekumpulan Lelaki Tular


SHAH ALAM - Seorang wanita telah dilarikan oleh sekumpulan lelaki dalam satu kejadian di hadapan pintu masuk kilang di Kampung Jaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Mangsa, S.Jothimani, 48, yang juga merupakan seorang pekerja kilang pengeluar penapis telah dipaksa masuk ke dalam kereta jenis Mercedez Benz berwarna putih sebelum ditarik oleh seorang lelaki yang berada di dalam kereta tersebut.

Kata adik mangsa yang hanya dikenali sebagai Ruvan, sebelum kejadian itu, kakaknya telah menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa dirinya daripada sebuah syarikat beli-belah dalam talian dan hendak menghantar barang.

Katanya ketika dihubungi, "kakak saya keluar untuk berjumpa dengan seorang lelaki di hadapan pintu masuk kilang itu. Namun setibanya di hadapan pintu masuk, beliau menemui seorang lelaki memakai baju berwarna putih, manakala dua lagi lelaki menunggunya di dalam kereta."

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV). kakaknya dipaksa menaiki kereta itu sebelum ditarik seorang lelaki dari dalam kenderaan itu, jelas beliau.

Dikatakan Ruvan hanya mengetahui kejadian terbabit setelah salah seorang daripada dua anak lelaki mangsa menerima panggilan telefon daripada penyelia kilang itu kira-kira 15 minit selepas kejadian.

Beliau juga mendakwa bahawa kakaknya tidak mempunyai musuh dan pihaknya juga tidak mengenali lelaki itu berdasarkan rakaman CCTV dan tidak pernah menerima sebarang ugutan daripada mana-mana individu.

Katanya lagi, "saya dimaklumkan ahli keluarga bahawa kenderaan yang dinaiki penculik tersebut juga merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu di Subang Jaya."

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan, katanya ketika dihubungi. Sumber: Bernama. Editor: Atila Atasha.