Wakil Rakyat Israel hina warga Palestin


BAITULMAQDIS - Seorang wakil rakyat diberi kawalan keselamatan oleh Parlimen Israel selepas mencetuskan kontroversi mengenai videonya menghina penduduk Palestin menjadi tular.

Dia juga merupakan tokoh parti Likud pimpinan Perdana menteri Benjamin Netanyahu, iaitu Oren Hazan, dikatakan bertindak sedemikian kelmarin selepas menaiki bas penduduk Palestin yang dibenarkan meninggalkan Semenanjung Gaza untuk melawat ahli keluarga mereka yang telah ditahan di dalam penjara Israel.

Katanya menerusi rakaman tersebut, "anggota keluarga kamu sepatutnya ditanam."

"Anak kamu anjing," katanya kepada seorang wanita, menuntut penumpang mengutuk 'tindakan ganas' terhadap Israel.

Hazan dikatakan bertindak sedemikian bagi mengkritik dasar Israel yang memberi permit untuk lawatan seumpama itu ketika Hamas didakwa telah menahan tiga penduduk awam serta mayat dua anggota tentera Israel.

"Bercakap dengan Hamas untuk melawat anak kamu, bukan kami," jawab seorang wanita menerusi rakaman tersebut.

Difahamkan, rakaman mengenai kejadian itu menjadi tular di media sosial Palestin dan Israel, dan telah mendapat reaksi daripada jurucakap sayap bersenjata Hamas.

Jelas Abu Obeida dalam kenyataan kepada pihak berkuasa Israel, "Daripada menghantar si bodoh melakukan tindakan tidak matang ini, cuba selesaikan isu ini dengan berani dan tidak mengancam wanita." Sumber: AFP. Editor: Atila Atasha