Wanita Diminta Jangan Berdiam Diri Bila Jadi Mangsa Seksual Dalam LRT


POLIS Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), meminta penumpang yang menjadi mangsa gangguan seksual untuk menghubungi polis bantuan secepat mungkin dan kami akan memberikan kerjasama bagi memberkas suspek.

Ketua Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Lim Jin Aun berkata, “pada 14 Disember lalu, kami menerima empat laporan kes gangguan seksual yang berlaku di rangkaian rel RapidKL.

“Daripada jumlah itu tiga kes berjaya di selesaikan dengan penangkapan suspek selepas mangsa melaporkan insiden tersebut kepada Polis Bantuan yang bertugas di stesen.

“Manakala satu lagi kes, suspek berjaya melepaskan diri apabila dikejar oleh anggota polis bantuan.

"Bagaimanapun, pihak kami sudah mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman itu sudah diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

"Kami juga sudah bertemu dengan mangsa dan memberi jaminan bahawa kejadian itu akan disiasat dengan teliti.

"Kami ingin meyakinkan penumpang bahawa Polis Bantuan sentiasa mengadakan rondaan sama ada dalam beruniform atau berpakaian awam di sepanjang rangkaian kendalian Prasarana bagi menjaga keselamatan penumpang," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jin Aun berkata, sehingga kini polis bantuan berjaya memberkas 21 daripada 22 suspek yang dilaporkan melakukan gangguan seksual sepanjang tahun ini dan mereka diserahkan kepada pihak polis.

"kakitangan operasi serta Polis Bantuan Prasarana komited untuk membantu pelanggan sebaik mungkin.

Untuk itu, kami ingin meminta penumpang yang menjadi mangsa gangguan atau melihat ada yang menjadi mangsa segera menghubungi polis bantuan dan kami akan memberikan kerjasama bagi memberkas suspek," katanya. Sumber: My Metro, Editor: Nsuhaili