Wanita Pukul Ibu Kerana Tidak Dapat Bawa Masuk Teman Lelaki


GEORGETOWN - Seorang wanita berusia 21 tahun ditahan polis selepas disyaki membelasah ibunya sendiri kerana tidak membenarkannya membawa masuk teman lelaki di dalam rumah di Relau, Georgetown.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa, 48, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ketika itu berada di rumah, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar.

Difahamkan ketika itu anak perempuan mangsa pulang ke rumah bersama teman lelakinya dan hendak masuk ke dalam rumah tetapi tidak dibenarkan, kata beliau.

"Disebabkan keengganan mangsa, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan anak perempuannya sebelum mangsa dipukul dengan 'pengunci mangga' pintu menyebabkan dia cedera dan calar di bahagian muka.

Katanya, "anak perempuan mangsa kemudiannya keluar dari rumah sebelum satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Nibong kira-kira jam 10.25 pagi pada hari yang sama."

Suspek juga berjaya ditahan di Bayan Lepas jam 1.30 tengah hari semalam dan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) untuk siasatan lanjut, kata Anuar.

Sementara itu, suspek yang tidak bekerja tidak mengaku memukul ibunya dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatang kecederaan dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jelasnya lagi.

"Manakala suspek dibawa ke mahkamah hari ini dan direman bermula hari ini sehingga 22 Disember.

Kata beliau, "siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga 1994." Sumber: Harian Metro. Editor: Atila Atasha.