Ajal Tiba Ketika Memancing


KOTA TINGGI: Seorang lelaki didapati telah meninggal dunia dipercayai dipatuk ular tedung selar ketika sedang memancing di sungai di kebun kelapa sawit FELDA Linggiu, di sini, semalam.

Mayat Jayalani Abu Samah, 45, ditemui meninggal dunia kira-kira 9 malam tadi oleh adik dan anak saudara yang dikatakan mencari mangsa di kebun berkenaan selepas tidak pulang ke rumah.

Adik mangsa Mohammad Zaidi, 36, berkata pada awalnya mereka hanya menyangka abangnya itu meninggal dunia akibat mengalami asma sebelum menjumpai kesan gigitan ular di bawah telinga kiri mangsa.

Jayalani yang bekerja sebagai pemandu van kilang itu dikatakan sangat meminati memancing dan gemar keluar memancing di kebun seorang diri terutamanya pada hari cuti.

Menurut adik kepada mangsa, "Selalunya mangsa akan pulang pada jam 5 petang atau sebelum hari gelap apabila keluar memancing. Tetapi semalam, dia langsung tidak balik ke rumah selepas keluar antara jam 2 petang dan 8 malam.”

Ibu kepada mangsa yang khuatir mengenai anaknya itu menyuruh adiknya dan seorang anak saudara untuk keluar mencari mangsa sebelum menemui mayat berhampiran motosikalnya.

Tambah adiknya lagi, mangsa kemungkinan besar mangsa dipatuk ular itu sebaik sahaja mangsa  bersiap-siap untuk balik. 

Hal ini kerana barang-barang memancing yang dibawa mangsa dikatakan berada dalam keadaan yang kemas dan tidak terabur.

Mangsa juga dikatakan mempunyai penyakit asma, namun, setiap kali keluar memancing, dia akan membawa ubat bersama.  

Mangsa yang belum berkahwin itu merupakan anak ketiga daripada 10 beradik dan merupakan seorang anak serta abang yang baik bukan saja kepada keluarganya, bahkan kepada penduduk di sekitar Felda itu.

Kejadian yang menimpa mangsa diharap dapat dijadikan iktibar buat orang ramai agar lebih berwaspada terhadap haiwan berbisa itu.


Dalam pada masa yang sama, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sumber: Sinar Harian, Editor: Amira