Alhamdulillah......Akhirnya Mereka Ditemui


RAWANG: Misteri kehilangan dua beradik yang berusia 15 dan 3 tahun yang dilaporkan hilang semalam telah berjaya ditemui oleh orang awam di Kampung Sungai Penchala semalam.

Dua beradik terbabit yang dilaporkan hilang ketika keluar ke kedai serbaneka di Batu 16, Rawang, Gombak, kira-kira jam 1 petang, kelmarin telah selamat dijumpai ketika mereka sedang asyik bermain hujan di Kampung Sungai Penchala.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, kanak-kanak terbabit dikenali sebagai Syafikah, anak yang sulung dan adik keempatnya, Aiman Daniel, dijumpai kira-kira pada jam 6.45 petang tadi dan diserahkan ke Balai Polis Rawang selepas orang awam yang menemui mereka menghubungi bapa kanak-kanak berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan namun pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui cerita sebenar bagaimana mereka hilang dan bagaimana boleh berada di Kampung Sungai Penchala.

"Hasil pemeriksaan pada tubuh kedua-dua kanak-kanak itu tidak menemui sebarang tanda kecederaan."

"Namun, hasil siasatan kita kini lebih menjurus untuk mengetahui cerita sebenar dan bagaimana mereka boleh berada di Kampung Sungai Penchala," katanya.

Berita kehilangan kanak-kanak itu dilaporkan dan turut menjadi tular di laman sosial selepas kedua-duanya tidak kembali ke rumah mereka di Flat Blok A, Aman Setia, Batu 16, Rawang, selepas ibu mereka menyuruh membeli susu sekitar jam 12.30 tengah hari.

Malah, keluarganya turut membuat laporan polis di Balai Polis Rawang, pada jam 10.30 malam kelmarin mengenai kehilangan mereka. Sumber: Harian Metro, Editor: Amira
                                                                                  



.