Jumaat, 12 Januari 2018

Bayi Ditemui Dalam Beg Di Rumah Anak Yatim


LUMUT - Seorang bayi lelaki berusia empat hari ditemui ditinggalkan berdekatan Rumah Anak Yatim Haruman Kasih, Batu 17 Ayer Tawar di sini hari ini, 12 Januari.

Orang awam menjumpai bayi tersebut pada pukul 7 pagi dan melaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

Ketika ditemui, Mohd Hanif berkata bayi tersebut diletakkan didalam sebuah beg berwarna hitam dengan logo Body Glove serta dibalut dengan sehelai tuala warna putih biru.

"Bayi tersebut berada dalam keadaan stabil dan telah dihantar ke Hospital Seri Manjung bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah dimaklumkan untuk bantuan," katanya.

Kesalahan membuang bayi boleh dikenakan penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan mereka yang terbabit dalam kes berkenaan.

Orang ramai boleh menghubungi pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung jika mempunyai sebarang maklumat di talian 05-6886222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Suthan di talian 014-9048081. Sumber:Utusan Online , Editor:Farhana