Bekas Polis Mati Dipukul Pesakit Mental


MERANTI PASIR MAS – Seorang bekas anggota polis disahkan meninggal dunia dipercayai akibat dipukul dengan objek keras iaitu kayu oleh seorang pemuda yang dipercayai mempunyai masalah mental.

Suspek yang dipercayai berjiran dengan mangsa dikatakan sering membaling objek termasuk kayu dan batu ke arah rumah jiran serta pengguna jalan raya turut terkena objek balingan tersebut.

Punca kejadian di Kampung Apa-apa itu dikatakan kerana suspek berasa berang dengan tindakan mangsa yang menegurnya supaya menghentikan perbuatan membaling objek kearah rumah dan kenderaan milik jiran mereka kerana perbuatan itu boleh membahayakan orang ramai.

Mangsa yang dikenali sebagai Abdul Halim Yusof, 68, dikejarkan ke Hospital Pasir Mas (HPM) namun setelah tiba di hospital mangsa disahkan meninggal dunia.

Menurut saksi yang bernama Aziz Mat, 62 yang juga merupakan rakan dan jiran mangsa, Abdul Halim dipukul di dalam semak berhampiran belakang rumah suspek kira-kira jam 2.30 petang.

Beliau berkata kejadian itu disedari apabila beliau mendengar bunyi bising dari arah yang mempunyai jarak 10 meter dari tingkap rumahnya.

“Saya dengar mangsa marah pada suspek kerana membaling objek ke arah rumah jiran kemudian suspek membaling ke arah mangsa sebanyak 4 kali.

“Mangsa pergi kepada suspek yang berada di belakang rumah kemudian saya tidak dapat melihat apa yang terjadi sehingga isteri mangsa berlari keluar sambil berkata pak Cu Halim kena pukul oleh suspek sampai pecah kepala.” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Isteri mangsa yang berusia 60 tahun meminta tolong saksi dan beberapa orang jiran untuk membantu mengangkat mangsa yang berada dalam keadaan tidak berdaya dan cedera parah di bahagian kepala.

Mangsa yang berada dalam keadaan tenat sempat diajar untuk mengucap sebelum dibawa menaiki ambulans untuk ke hospital.

Abdul Aziz berkata, sebelum ini kejadian seperti itu pernah berlaku apabila suspek membaling objek keras terhadap rumah mangsa dan juga kenderaan di jalan raya berdekatan rumah suspek.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, selepas menerima laporan mengenai kejadian berkenaan, suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuhEditor:Farhana