Budak 7 Tahun Dicabul Di 'Fun Fair'


SUNGAI PETANI: Seorang lelaki dipercayai sedang menjadi buruan pihak polis selepas dikatakan mencabul kanak-kanak perempuan yang berusia tujuh tahun.

Lelaki terbabit dikatakan melakukan perkara sedemikian ketika berada di kawasan ‘Fun Fair’ di Taman Ria, Sungai Petani pada hari Sabtu yang lalu sehingga ianya tular di media sosial sejak semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, susulan video tersebut tular di media sosial, pihaknya dikatakan telah menerima dua laporan polis yang telah dibuat oleh seorang pegawai polis dan juga ibu kepada mangsa sendiri.

Tambahnya, ibu mangsa memberitahu bahawa suspek yang juga rakannya ada datang ke rumah mangsa di Sungai Lalang, Sungai Petani pada jam 11 malam, pada Sabtu lalu sebelum dia meminta kebenaran untuk membawa mangsa keluar untuk membeli makanan di Taman Bandar Baru.

"Mangsa hanya dihantar pulang ke rumahnya oleh suspek jam 1 pagi sebelum dia beredar.”

"Bagaimanapun ibu mangsa yang turut melihat video tular itu kemudian bertanya kepada suspek mengenai perkara itu selepas lelaki itu datang semula ke rumahnya 11.30 malam semalam," katanya.

Bagaimanapun, suspek dikatakan telah mengaku kesalahannya dan turut memohon maaf kepada ibu mangsa setelah dia menghantar mangsa ke rumah.

"Ibu mangsa sudah membuat laporan polis 2.52 pagi ini dan mangsa sudah dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan.”

"Polis sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya. Sumber: Harian Metro, Editor: Amira