Bunuh Ibu Bapa Angkat, Penoreh Getah Dipenjara 20 Tahun


KOTA BHARU – Seorang penoreh getah didakwa membunuh ibu bapa angkatnya di Kampung Pulai, Gua Musang tiga tahun lalu.

Suspek dikenakan hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini, 18 Januari.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Cha Woon Fui, 30, selepas didakwa menyebabkan kematian Cha Mook Liong, 75, dan isterinya, Fong Ah Fong, 75, di Kilometer 10, Jalan Gua Musang-Kampung Pulai, Gua Musang pada pukul 9.10 pagi, 7 Oktober 2015.

Woon Fui sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pilihan itu dikemukakan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 7 Oktober 2015.

Tiga tahun lalu, Utusan Malaysia telah melaporkan sepasang suami isteri isteri terbunuh apabila motosikal yang dinaiki tiba-tiba meletup dipercayai berpunca daripada bom buatan sendiri di Kampung Pulai, Gua Musang.

Tragedi pada pukul 9 pagi itu menyebabkan mayat mangsa, Mok Liong dan isterinya,Ah Fong, berkecai dan tercampak ke atas jalan raya serta kawasan semak berhampiran. Sumber:Utusan Online , Editor:Farhana