"Cuma Saya Belum Fikir Nak Buat Atau Tidak" - Datuk Seri Siti Nurhaliza.


Penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, memberitahu bahawa sehingga ke hari ini dia masih belum lagi terfikir untuk membuat laman sosial Instagram buat anak sulungnya yang bakal dilahirkan pada Mac depan.

Siti berkata bahawa apa yang menjadi keutamaan buatnya sekarang adalah kesihatan dirinya serta kesihatan bayi di dalam kandungnya.

“Saya pasti setiap orang ada alasan tersendiri kenapa ingin mewujudkan akaun Instagram anak. Bukan saja di kalangan selebriti, tetapi orang biasa pun ada juga."

“Sudah tentu, IG ini boleh mengabadikan segala momen dan melihat perkembangan anak. Ini satu lagi cara untuk berkongsi kepada peminat."

“Cuma saya belum fikir nak buat atau tidak. Kalau anak tak ada akaun IG sendiri pun, saya akan muat naik di IG sendiri dahulu. Bagi saya, ia sama saja,” katanya.

Sebelum ini, ramai artis telah membuat akaun Instagram buat anak mereka seperti Amar Baharin dan Amyra Rosli, Shaheizy Sam, Hanis Zalikha, Rozita Che Wan dan Awal Ashaari.

Dalam pada masa yang sama, terdapat juga beberapa artis yang turut mewujudkan akaun Instagram buat anak mereka yang belum lahir.

Bagaimanapun, menurut Siti lagi dia juga perlu menghormati pendirian suaminya iaitu Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa serta keluarganya yang lain mengenai soal ini.

“Ketika saya berkongsi video ujian imbasan kehamilan sebelum ini, suami minta saya buang. Katanya, terlalu awal."

“Sama juga dalam perkara ini, saya tidak boleh buat keputusan sendiri. Saya perlu menghormati pendirian suami. Saya ikut mana yang dirasakan sesuai."

“Kadang saya okey, suami pula sebaliknya. Jadi, saya kena patuh. Mungkin apa yang difikirkan suami ada betul dan rasionalnya. Jadi, saya tak boleh ikut kepala sendiri,” katanya.

Siti yang kini sedang sarat mengandung selama tujuh bulan, dilihat telah hadir di majlis pembukaan cawangan baru Jakel dan Ariani di Bangi pada pagi tadi.

Menurut Siti, itu merupakan kemunculan terakhirnya di khalayak sebelum dia mengambil cuti untuk bersalin. Sumber: Harian Metro, Editor: Amira

Siti Nurhaliza