Selasa, 9 Januari 2018

Dalam Masa Enam Jam Sahaja Enam Wanita Diragutnya


DALAM masa enam jam sahaja bekas banduan 'mengganas' apabila meragut bag tangan enam wanita di sekitar Padang Besar, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias berkata, suspek yang baru keluar dari penjara tidak sampai tiga minggu itu bagaimanapun berjaya ditangkap keesokan harinya di tepi jalan di Jalan Pangkalan Asam, Kangar pada 7 malam.

Katanya, suspek berusia 25 tahun itu berasal dari Kampung Titi Tinggi, Padang Besar dan baru selesai menjalani hukuman penjara pada pertengahan Disember lalu atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

"Lelaki itu dipercayai meragut untuk membeli dadah, selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek menyasarkan wanita yang menunggang motosikal bersendirian ketika keadaan jalan raya lengang," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis di IPK Perlis.

"Cara yang suspek guna ialah mengekori mangsa wanita dengan motosikal sehingga mangsa berhenti di lampu isyarat atau memperlahankan motosikal mereka di bahu jalan sebelum meragut beg tangan mereka yang diletakkan dalam raga motosikal.

"Kejadian pertama berlaku pada 7.20 pagi hari kejadian diikuti kejadian kedua (10 pagi), ketiga (10.15 pagi), keempat (12.30 tengah hari), kelima (1.20 tengah hari) dan terakhir pada 2.10 petang.

"Jika diteliti pada kejadian kedua dan ketiga, jarak masa antara hanya 15 minit dan belum sempat mangsa terdahulu membuat laporan polis, suspek meragut mangsa yang lain," katanya.

Menurut Azisman, mangsa ragut terbabit berusia antara 18 ke 39 tahun dan suspek dikesan melakukan ragu tadi setiap lokasi berdekatan lampu isyarat dan bahu jalan di sekitar daerah Padang Besar.

Katanya lagi, melalui risikan pihaknya berjaya mengesan motosikal digunakan suspek ketika kejadian dan mendapati ia milik rakannya berusia 51 tahun.

"Jumlah keseluruhan rampasan barangan termasuk wang tunai bernilai RM1,300 manakala dokumen pengenalan dan berkaitan mangsa, suspek mengaku sudah membakarnya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana kesalahan samun dan suspek di reman tujuh hari bermula kelmarin hingga 13 Januari ini. Sumber: Harian Metro - Editor: Amylea Nazrul