Ahad, 14 Januari 2018

Farid Kamil Tidak Boleh Beri Keterangan Lagi Kerana Tidak Boleh Bertutur Dengan Stabil Lagi.


PETALING JAYA: "Tak Sangka Sebegini Serius!" Berikut adalah kata-kata pegawai polis ketika memberitahu bahawa Datuk Farid Kamil dikatakan tidak boleh memberi keterangan kerana dikatakan tidak boleh bertutur dengan stabil lagi.

Dalam pada masa yang sama, dia berkata bahawa masyarakat atau ‘public figure’ yang telah menerima darjah kebesaran tidak sewajarnya berkelakuan tidak senonoh terutama di dalam kawasan balai polis.

Menurut Ketua Polis Selangor, mana-mana individu yang menunjukkan kelakuan yang tidak senonoh di dalam balai polis ataupun di khalayak ramai boleh ditangkap tanpa waran mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967.

“Individu yang dikurniakan darjah tertinggi sepatutnya perlu menjaga status mereka dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengundang cemuhan.”

“Kes seperti ini bukan pertama kali berlaku dan kita akan mengambil tindakan ke atas mereka yang berkelakuan tidak senonoh walaupun berpangkat tinggi,” ujarnya ketika sidang media Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas Pegawai dan Pembantu Keselamatan Penerbangan (Polis Bantuan) Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) Siri 1/2017 di Sepang, hari ini.

Kenyataan yang diberikan tersebut adalah untuk mengulas lanjut mengenai kes pelakon dan pengarah filem iaitu Datuk Farid Kamil Zahari yang ditahan selepas dipercayai mengamuk, menampar anggota polis trafik dan menendang orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara baru-baru ini.

Dalam pada masa yang sama, pihaknya juga turut melengkapkan siasatan dalam tempoh terdekat dan sebarang pertuduhan bakal dikenakan terhadap suspek selepas siasatan selesai dijalankan.

“Difahamkan, anggota polis yang di tampar tidak mengalami sebarang kecederaan malah, orang awam yang terbabit sama juga sudah membuat laporan polis selepas insiden berkenaan.”

“Bagaimanapun, sehingga kini kita belum mendapatkan keterangan daripada subjek (Farid Kamil) kerana dia tidak boleh bertutur dengan stabil lagi,” katanya.

Dalam kejadian pada 1.20 tengah hari itu, pelakon yang berusia 37 tahun telah ditahan polis selepas dipercayai menampar seorang anggota polis di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Suspek yang juga merupakan suami kepada pelakon, Datin Diana Danielle, 27, dikatakan mengamuk selepas menunjukkan artikel ‘300 Artis Pinjam Ah Long’ di telefon bimbit yang dimilikinya.

Pelakon terbabit kini di reman empat hari bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan. Sumber: Harian Metro, Editor: Amira