Gadis Maut Dibunuh Teman Lelaki Gara-Gara Mabuk

MIRI – Seorang pelajar wanita yang berusia 22 tahun telah menemui ajalnya akibat kecederaan di kepala dan dipercayai telah dibunuh oleh teman lelakinya di Lambir, semalam.

Mangsa yang bernama Doris Daun Bila merupakan seorang pelajar di sebuah kolej, berasal dari Long Moh, Baram.

Ketua Polis Miri, ACP Lim Meng Seah berkata, Wad Kecemasan Hospital Miri telah membuat panggilan kepada balai polis untuk memaklumkan kematian mangsa pada pukul 4.30 pagi.

Lim Meng berkata, balai Polis Pusat Miri telah menerima panggilan bahawa dua orang lelaki telah menghantar seorang wanita yang tidak sedar diri serta mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Doktor yang bertugas pada ketika itu, telah melakukan pemeriksaan serta mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan teman lelaki mangsa berusia 23 tahun yang turut sama menghantar mangsa ke hospital telah ditahan untuk membantu siasatan.

Hasil siasatan awal, suspek yang merupakan seorang lelaki rakyat tempatan dipercayai telah minum arak di Sungai Setulai Baru, Lambir bersama-sama mangsa dan beberapa rakan lain sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, mangsa mengajak suspek pulang ke rumah setelah melihat keadaan suspek yang mabuk namun suspek enggan pulang dan mereka bergaduh di dalam kereta.

“Selepas bergaduh mangsa dan suspek meninggalkan tempat tersebut dengan kereta yang dipandu oleh suspek,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam perjalanan balik, mereka berhenti di tepi jalan untuk membuang air kecil dan pada ketika itu mereka masih bergaduh lalu mangsa jatuh sehingga tidak sedarkan diri.

“Suspek membawa mangsa balik ke rumahnya dan meminta bantuan abangnya untuk menghantar mangsa ke Hospital Miri,” katanya.

Lim Meng berkata, suspek disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala mayat mangsa masih berada di Hospital Miri untuk bedah siasat. Sumber:Bernama , Editor:Farhana