Gagal Mencuri Kereta Pula Masuk Parit


SANDAKAN - Seorang pencuri terima nasib malang apabila enjin bot yang ingin dicuri gagal dilarikan malahan kereta yang dipandunya juga terbabas dan terjunam ke dalam parit di Kampung Sungai Daling Luboh, Batu 12, apabila terkejut disergah pada pagi hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata, siasatan mendapati suspek disyaki cuba mencuri enjin sangkut milik seorang nelayan berusia 52 tahun namun gagal apabila anak mangsa menyedari perbuatan lelaki itu.

Mangsa yang sedang tidur terjaga apabila terdengar jeritan anak lelakinya yang berusia 30 tahun mengatakan ada pencuri mengangkat enjin bot mereka.

Menurut Abdul Fuad, suspek yang tengah cuba untuk mencuri itu juga terkejut mendengar jeritan anak mangsa lalu membuang enjin bot yang diangkatnya lalu melarikan diri dengan memandu Perodua Viva.

Nelayan itu bersama anaknya bertindak mengejar kereta suspek hingga kereta yang dipandu suspek terbabas dan terjunam ke dalam parit.

Walaubagaimanapun, suspek sempat melarikan diri dan meninggalkan kereta itu di dalam parit.

"Susulan kejadian, pengadu memaklumkan kepada polis. Sepasukan polis yang tiba membawa kereta suspek ke Balai Polis Sandakan untuk siasatan lanjut," katanya.

Semakan mendapati kereta dipandu suspek adalah milik sebuah agensi sewa kereta di Sandakan dan disewa oleh seorang lelaki tempatan sejak semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379/ 511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri," katanya. Sumber: Mymetro , Editor:Farhana