Ahad, 14 Januari 2018

Gara-Gara Belasah Orang Gila, Hukuman Menanti.


BACHOK: Seorang peniaga kedai makan dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan dan turut di perintahkan untuk membayar pampasan sebanyak RM 2,000 gara-gara mencederakan seorang pesakit mental dengan batang penyapu.

Kejadian terbabit telah berlaku pada tahun lalu dan hari ini pihak Mahkamah Seksyen Kota Bharu menjatuhkan hukuman terbabit ke atas suspek.

Hakim, iaitu Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman terbabit ke atas suspek selepas tertuduh iaitu Muhammad Hushairi Abdullah, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan ke atas dirinya itu.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan, dia didakwa telah mencederakan mangsa iaitu Ismail Nor, 63, dengan batang penyapu aluminium di surau Kampung Pengkalan Baru, Bachok pada 3.30 petang, 9 Februari 2017.

Suspek kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mana akan memperuntukkan hukuman penjara maksimum iaitu 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana seksaan jika disabitkan kesalahan.

Menurut fakta kes, sebelum kejadian mangsa yang juga pesakit mental dikatakan telah mengambil sendiri makanan di kedai makan dengan tangan yang kotor walaupun sudah diberikan makanan.

Dalam pada masa yang sama, mangsa juga turut memarahi isteri tertuduh.

Tertuduh yang dipercayai telah hilang kawalan itu terus mencari mangsa dan berjaya menemuinya di lokasi kejadian dan pada mulanya hanyalah untuk menegur perbuatan lelaki itu sebelum berlaku pergelutan di antara mereka.

Akibat daripada perasaan amarahnya, tertuduh kemudian mengambil batang penyapu aluminium di surau terbabit dan memukul mangsa beberapa kali sebelum dihalang bapa tertuduh yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Susulan daripada kejadian itu, mangsa telah patah kaki kanan dan tangan kiri serta turut cedera di bahagian paha kiri dan kepala dan telah dirawat di wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama enam hari.

Sementara itu, peguam kepada suspek memohon agar mengenakan hukuman yang ringan ke atas suspek kerana mengambil kira latar belakang anak guamnya yang sudah berkahwin itu.

"Mangsa dalam kes ini menghidap penyakit mental dan dikatakan sering membuat kacau bukan hanya di kedai makan malah masyarakat di kampung itu turut diganggu.”

"Saya mohon tertuduh diberikan peluang dengan dikenakan bon jaminan berkelakuan baik," katanya.

Walaubagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya memohon agar hukuman penjara adalah setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius.

"Mangsa seorang pesakit mental dan tertuduh sebagai seorang yang waras perlu bertindak dengan waras. Perbuatan tertuduh ini melampaui batas sehingga mengakibatkan mangsa parah.”

"Oleh itu saya mohon hukuman pemenjaraan dan pampasan untuk beri pengajaran kepada tertuduh," katanya. Sumber: Mymetro, Editor: Myra