Jumaat, 12 Januari 2018

Gara-gara Bersuamikan Penagih Dadah Isteri Hidap HIV


JERANTUT - Keputusan seorang wanita memilih penagih dadah sebagai suami berakhir dengan penderitaan apabila dia disahkan menghidapi HIV tujuh tahun yang lalu.

Mangsa yang bernama Yani, 40 nekad dengan keputusan dan tidak menghiraukan tentangan daripada keluarga kerana percayakan janji manis lelaki berkenaan.

Menurutnya, tuntutan cerai dilakukan pada tahun yang sama dia disahkan menghidap penyakit tersebut dan pada masa yang sama dia sedang hamil anak kelima.

“Ketika kami masih bersama, suami menjadikan rumah sebagai sarang penagihannya dan sanggup ambil dadah di hadapan anak-anaknya sendiri tapi selepas bercerai, saya bersama anak-anak pindah ke rumah baru yang lebih dekat dengan sekolah dan kadar sewa RM150 sebulan.

“Penceraian saya disahkan masa anak bongsu berusia lapan bulan dan selepas itu saya terpaksa buat macam-macam kerja untuk tampung kehidupan keluarga dan anak-anak yang masih bersekolah,” katanya.

Yani berkata, penyakitnya semakin teruk pada tahun 2016 dan dia terpaksa berhenti kerja baji mendapatkan rawatan di hospital.

“Majikan pun tak mahu ambil saya bekerja sebab selalu sangat cuti sakit. Tak mengapalah, saya faham. Jadi, saya sekarang hanya bergantung bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 untuk bayar sewa rumah dan beli keperluan lain.

“Sejak setahun lepas juga saya tak dapat masak untuk anak-anak kerana penyakit saya ini. Selalunya kami beli di luar. Itu pun jika ada duit, jika tidak, saya akan ikat perut sementara anak-anak akan meminta nenek mereka menghantarkan makanan,” katanya.

Walaubagaimanapun, Yani bersyukur kerana penyakitnya itu tidak menjangkiti anak-anaknya, namun terkilan dan sedih kerana tidak dapat dapat menyusukan anak bongsunya yang dilahirkan tujuh tahun lalu kerana penyakit yang ditanggungnya itu.

Selepas melahirkan, Yani dan anaknya diasingkan dan anak itu dijaga oleh kakaknya.

Kakak Yani akan membawa anaknya bertemu ibunya pada masa terluang kerana Yani tidak dapat ke rumah kakaknya kerana tiada kenderaan dan rumah kakaknya agak jauh.

Bercerita tentang rawatan yang diterimanya, Yani berkata, hampir setiap bulan dia akan dimasukkan ke hospital berikutan badannya yang semakin lemah.

Kadangkala Yani hilang selera makan dan badan menjadi lemah dan terpaksa dimasukkan ke hospital dalam tempoh seminggu hingga sebulan dan bergantung dengan enam jenis ubat yang dibekalkan pihak hospital untuk diambil setiap hari.

Menurut Yani dia bersyukur kerana empat orang anaknya yang berusia 13 hingga 20 tahun tinggal bersamanya tidak pernah merasa jijik untuk menguruskan dirinya walaupun tahu penyakit yang dihidapi ibu mereka.

“Anak sulung saya bekerja di kedai mencuci kereta dengan pendapatan sekitar RM900 sebulan namun cukup menampung perbelanjaan dirinya.

“Anak kedua berusia 17 tahun sering membantu menghantar saya ke hospital setiap kali saya sakit. Disebabkan dia kerap tidak hadir ke sekolah kerana membantu saya, jadi tahun ini dia terpaksa berhenti dari bersekolah,” katanya.

Memiliki satu-satunya anak perempuan yang berusia 15 tahun itu, Yani bersyukur kerana dapat meringankan bebannya dalam menguruskan urusan rumah seharian.

“Saya harap anak perempuan saya ini akan bantu menjaga adik-beradiknya apabila saya sudah tiada nanti,” katanya.

Selain memiliki anak-anak yang memahami, Yani berkata dia juga bersyukur kerana jiran juga tidak meminggirkannya walaupun mengetahui penyakit yang dihidapinya itu.

“Saya sendiri akan sentiasa memastikan anak saya tidak dijangkiti penyakit saya seperti mengasingkan minuman dan menjaga perkara-perkara yang boleh mengakibatkan jangkitan,” katanya.

Seorang wanita yang berusia 68 tahun merupakan jiran Yani sering membantu setiap kali dia ditimpa masalah.

“Pada saya, apa yang berlaku ke atasnya bukanlah kehendaknya. Kita juga tak tahu apa pula nasib kita nanti kerana penyakit itu bukanlah berpunca daripada kesilapannya sendiri.

“Sebagai jiran, saya tak meminggirkannya kerana penyakitnya itu. Kadang-kadang bila saya dengar dia menangis, saya akan tanya khabar,” katanya yang juga berharap agar masyarakat turut tidak meminggirkan golongan sebegini. Sumber:Sinar Harian , Editor:Farhana