Ibu Bongkar Kejadian Sebelum Anak Ditembak Perompak.




KOTA BHARU: Baru-baru ini heboh di media sosial apabila seorang lelaki yang sentiasa memuat naik video mengenai penjualan barangan kemas di laman sosial Facebook telah ditembak dan disamun di Kota Bharu, Kelantan.

“Ini merupakan ujian buat anak saya. Apapun mujurlah anak saya selamat dan hanya mengalami kecederaan di bahagian betis kiri, bengkak di muka dan kepala selepas dirompak dan ditembak penyamun dalam kejadian malam tadi.”

Ini adalah luahan perasaan daripada ibu mangsa, Zawiyah Nawang, 66, yang ditemui di ruangan menunggu bilik pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) mengenai kejadian yang menimpa mangsa samun iaitu Mohd Irfan Abdullah. 

Menurut Zawiyah sebelum kejadian itu berlaku, anak bongsunya itu dikatakan baru sahaja pulang dari rumah kakaknya selepas makan malam dan dia duduk bersendirian di pejabatnya di Kampung Banggol Kulim.

“Kami sempat makan bersama-sama kakaknya yang terletak di Kampung Kedak di sini.”

“Ketika makan malam, dia (Irfan) amat berselera dengan makan bihun sup, pulut pauh dan pelbagai makanan lagi. Selepas dia pulang ke pejabatnya itu. Sehinggalah dalam kira-kira jam 11 kakaknya menerima panggilan daripadanya,”katanya.

Semasa panggilan di buat, suara Irfan kedengaran semakin lemah selain dia juga turut meminta tolong seperti dia sedang menahan kesakitan yang amat sangat.

“Selepas panggilan itu, saya dan kakak Irfan terus lokasi kejadian dengan kereta dipandu menantu. namun usaha melihat keadaan mangsa di tingkat atas itu tersekat selepas pintu jeriji di bahagian bawah itu telah di kunci dan polis tidak membenarkan kami masuk.”

“Sebelum ini saya ada berpesan kepada Irfan (mangsa) supaya jangan pamerkan wang dan barangan kemas di Facebook kerana bimbang menjadi sasaran penjenayah.”

“Rupa-rupanya kebimbangan saya itu menjadi kenyataan. Apa pun saya berharap di cepat sembuh kerana dia seorang anak yang baik dan taat pada keluarga dan rapat dengan adik beradik,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.”

Tambah ibu kepada Irfan lagi, dia memberitahu bahawa Irfan sempat bertemunya di hospital serta memberitahunya bahawa kejadian tersebut begitu pantas dan pada mulanya dia membuka pintu kedainya selepas pintu tersebut diketuk di mana dia menyangkakan bahawa tiga penjenayah tersebut adalah pelanggannya.

“Tetapi sangkaannya meleset, malah tiga lelaki itu bukan sahaja bertindak memukul Irfan malah turut menembak betis kiri anak saya dan mengunci pintu rumah mangsa dari luar serta meninggalkan Irfan dalam kesakitan.”

"Mujurlah Irfan sempat telefon kakaknya, jika tidak tak tahulah saya apa akan berlaku padanya. Apapun saya berdoa agar Irfan cepat sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan menjalankan perniagaannya,”katanya.

Sebelum ini, Irfan dipercayai merupakan salah seorang peniaga atas talian yang sangat aktif membuat siaran langsung di Facebook telah ditembak di betis kiri di pejabatnya di Banggol Kulim semalam.

Menurut Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, ketika kejadian berlaku mangsa, Mohd Irfan Abdullah, 26, dipercayai berada berseorangan di pejabat tersebut.

Hasil daripada siasatan, pihak polis tidak menolak dakwaan bahawa rompakan itu telah dirancang lebih awal, berdasarkan kepada pergerakan penjenayah melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Selepas menerima panggilan pada jam 11. 33 malam, kita bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mangsa berada di tingkat atas premis dan terkunci dari luar pejabat, dipercayai dilakukan penjenayah terbabit.”

“Kesan tembakan menyebabkan mangsa berlumuran darah dan berada dalam keadaan lemah,” katanya." Sumber: Sinar Harian, Editor: Amira