Sabtu, 6 Januari 2018

Ibu Dan Anak Lelaki Rentung Dalam Tragedi Kebakaran


SABAH – Kehidupan dua beranak berakhir tragedi apabila ditemui dalam keadaan yang menyayat hati akibat daripada kejadian kebakaran yang dikatakan berlaku di Taman Bosoi, Perumahan Kalang, Tenom di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian yang dikatakan telah berlaku pada pukul 2 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui terkorban di dalam bilik kediaman mereka oleh sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom.

Menurut jurucakap daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Penyelamat Bomba Malaysia (JPBM) Negeri Sabah, mangsa yang dikenali sebagai Wong Siu Mei,46, dan anak lelakinya Wong Ka Seng yang berusia lapan tahun dipercayai maut selepas gagal untuk menyelamatkan diri dan terperangkap dalam kebakaran tersebut.

Tambahnya lagi, ketika kejadian berlaku terdapat tiga ahli keluarga yang berada di rumah tersebut.
Namun begitu, suami mangsa, Wong Vun Tsung, 38, berjaya menyelamatkan diri tetapi dia juga turut mengalami kecederaan akibat melecur.

Pihak berkuasa turut memberitahu bahawa mayat ibu dan anaknya itu ditemui di atas katil.

Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa semua laluan keluar di rumah tersebut dikatakan berjeriji dan ia menyukarkan mangsa untuk keluar daripada rumah berkenaan.

Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan tersebut telah dikerahkan ke lokasi kejadian sekitar jam 2.35 pagi dan seramai tujuh anggota bomba dan dua jentera membantu memadamkan kebakaran tersebut.

Difahamkan, operasi memadamkan kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 5 pagi. Sumber: K! Online, Editor: Amira