Ibu Memeluk Dan Maafkan Remaja Yang Membunuh Anak Lelakinya.


AMERIKA SYARIKAT: “Sungguh tabah hatimu ibu.” Demikian adalah reaksi netizen yang terkejut dan tidak menyangka melihat reaksi seorang ibu yang sanggup memaafkan dan memeluk remaja yang membunuh anak lelakinya.

Kejadian menyentuh jiwa ini dikatakan berlaku pada 28 Jun 2015 di Cincinati, Ohio, Amerika Syarikat.

Mangsa, Suliman Abdul Mutakallim, 39, telah ditembak di bahagian belakang kepala ketika berada dalam perjalanan pulang ke rumah sambil membawa barangan makanan yang dibeli untuk dia dan isterinya.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tiga suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan menjadi dalang utama pembunuhan terbabit.

Video terbabit juga turut menunjukkan suspek bernama Jason, 14, sedang mengambil wang dari poket seluar mangsa yang jatuh tertiarap selepas sahaja mangsa ditembak.

Mangsa yang merupakan seorang veteran tentera laut itu masih bernyawa selepas ditembak dan turut mengalami banyak pendarahan.

Dalam dompet mangsa juga dikatakan hanya berisi AS$60 sahaja kerana mangsa telah menggunakan wang yang di miliknya untuk membeli makanan.

Selepas suspek mengambil wang itu, suspek telah menyerahkan wang itu kepada dua lagi suspek yang masing-masing berusia 17 tahun dan 20-an.

Dalam pada masa yang sama, suspek juga turut mengambil barangan makanan dan berlalu pergi meninggalkan mangsa yang cedera parah.

Ketika perbicaraan di mahkamah sedang berlangsung, ibu mangsa, Ruyike Abdul, 66, dari North Carolina telah meminta kebenaran daripada mahkamah untuk berjumpa dengan suspek.

Namun, orang awam yang hadir dalam mahkamah terbabit terkejut sejurus sahaja ibu mangsa melakukan sesuatu yang tidak dijangka .

Ruyike dipercayai berjalan ke arah Javon yang telah mengaku membunuh anaknya.

Lalu, dia bertindak di luar jangkaan apabila dia memaafkan dan memeluk remaja itu, malah dia juga turut memeluk ibu remaja terbabit yang hadir ke perbicaraan itu.

“Kematiannya telah ditakdirkan, mungkin tujuannya adalah untuk menyelamatkan kehidupan awak.”

“Saya tak benci awak, saya tak mampu bencikan awak. Itu bukan cara kami. Menunjukkan belas kasihan itulah cara kami.’

“Apa yang kami mahukan untuk mereka bukanlah membalas dendam. Membalas dendam tidak akan menyelesaikan masalah, juga tidak akan menggembalikan anak saya,” ujar ibu mangsa yang juga telah menanggung kesedihan akan kematian anaknya itu selama dua tahun.

Suasana di dalam mahkamah berkenaan menjadi semakin sebak apabila Javon memohon maaf kepada Ruyike di atas tindakannya itu.

“Puan Abdul, saya ingin mengatakan bahawa saya minta maaf,” katanya.

"Anak-anak muda itu, walaupun mereka telah mengambil nyawa anak saya dengan perbuatan mereka, kita perlu berjuang untuk mereka kerana mereka akan kembali dan mereka akan menjadi dewasa. Tetapi jika mereka tidak dibimbing, jadi perkara yang sama akan berulang kembali dan mereka akan mengambil nyawa anak orang lain.”

“Kita perlu berjuang untuk mereka dan tunjukkan bahawa ada kehidupan yang lebih baik. Dan kemudian mereka juga perlu berjuang untuk mendapatkan kehidupan yang baik,” kata Ruyike. Sumber: Daily News, Editor: Amira