Ibu Tetak Anak Gara-Gara Barang Hilang


SABAH – Seorang ibu tergamak melibas pisau pemotong daging sehingga mencederakan tiga orang anaknya yang berusia 10, 12, dan 15 gara-gara barang kemas miliknya hilang di sebuah pangsapuri Putatan, Penampang.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7 malam dan mendapati ketiga-tiga mangsa cedera di tangan manakala seorang lagi kanak-kanak juga merupakan anak wanita itu tidak mengalami kecederaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, sebelum kejadian itu berlaku suspek meminta anak-anaknya mencari barang kemas miliknya yang hilang sejak Ahad lalu.

"Selepas gagal menemui semua barang kemas itu, mangsa dikatakan marah lalu memukul dan mengugut mahu membunuh semua anaknya.

"Suspek kemudian bertindak di luar kawalan apabila mengambil sebilah pisau pemotong daging dan melibas ke arah empat anaknya dengan tujuan supaya ada anaknya mengaku,” katanya.

Akibat dari tindakan ibu itu, tiga orang anaknya terkena libasan dan mengakibatkan mereka cedera di tangan namun seorang lagi terselamat.

"Semua mangsa kemudian melarikan diri dan meminta bantuan jiran sebelum mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia Taman Ketiau.

"Susulan itu, polis menahan wanita berusia 34 tahun di rumahnya 10 malam tadi.

"Polis turut merampas sebilah pemotong daging yang dipercayai digunakan ketika kejadian itu di kawasan rumah suspek," katanya.

Kes yang mendatangkan kecederaan kepada mangsa menggunakan senjata disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Sumber:Malaysia Terkini , Editor:Farhana