17 Jan 2018

JAKIM Sahkan Identiti Nur Sajat


SHAH ALAM – Berhubung dengan isu identiti usahawan kosmetik Nur Sajat Kamaruzzaman, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menemui jalan penyelesaian dalam mendapatkan pengesahan mengenai identiti sebenar beliau.

Ketika di temu bual oleh mStar Online, Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, pihaknya dalam fasa untuk merungkai persoalan yang ditimbulkan masyarakat mengenai Sajat.

Buat masa ini, Dr Izwan masih enggan mengulas lanjut mengenai bentuk penyelesaian yang akan di lakukan untuk menangani isu ini.

“Alhamdulillah. Kami telah menemui jalan penyelesaian. InsyaAllah semoga semuanya berjalan lancar.

“Jalan penyelesaian ini bagi mendapatkan pengesahan identiti sebenar Sajat,” katanya kepada portal berita ini, petang Selasa selepas mengadakan pertemuan dengan Sajat

Kedua ibu bapa Sajat turut hadir dalam pertemuan itu.

Dr Izwan berkata pihaknya masih belum mendapat pengesahan daripada Sajat mengenai identitinya yang memberi tanda tanya orang ramai.

Mohd Izwan berkata, sebarang urusan dalam mendapatkan pengesahan itu akan dibuat melalui perbincangan secara dalaman.

“Ia adalah perbincangan dalaman, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

MStar Online melaporkan Sajat sedia berjumpa dengan pihak Jakim pada selasa berhubung isu berkaitan dirinya hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

Difahamkan, hajat pihak Jakim untuk mengadakan pertemuan dengan Sajat adalah kerana cumuahan dan kecaman netizen sejak kebelakangan ini berhubung isu identiti usahawan kosmetik berkenaan.

Sementara itu, Sajat pula berkata, pertemuannya bersama Jakim adalah untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu berbangkit.

“Alhamdulillah, hari ini saya terima kedatangan ziarah daripada wakil Jakim.

“Insya-Allah ada jalan penyelesaiannya, doakan yang terbaik ya,” jawabnya ringkas. Sumber:mStar Online , Editor:Farhana

Advertiser