Kami Tidak Heran Dengan RM20 Itu, Yang Penting Keselamatan Kami


KUALA KUBU BAHRU: Seorang pekerja kedai pakaian di Jalan Orkid, Bukit Beruntung, terkejut apabila pelanggan pertama yang memasuki kedai itu menunjukkan kemaluannya tanpa segan silu di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 9.33 pagi itu, pekerja wanita berusia 24 tahun yang enggan dikenali itu terkejut selepas lelaki yang pada mulanya mendakwa mahu mencari seluar, menunjukkan kemaluan sambil menggoyangkan badannya berdekatan rak pameran yang menempatkan seluar panjang.

Wanita itu berkata, atas faktor keselamatan, beliau tampil membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa untuk tindakan lanjut.

"Saya bimbang dan merasakan lelaki itu cuba melakukan gangguan seksual," katanya ketika ditemui pemberita petang tadi.

Dalam pada itu, pemilik kedai yang enggan dikenali berkata, perbuatan jijik lelaki berkenaan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.

Katanya sebaik dimaklumkan mengenainya, beliau menghampiri lelaki itu dengan sebatang kayu untuk bertanya tujuannya, dan lelaki itu mendakwa mahu mencari seluar.

"Lelaki itu tidak mengaku perbuatannya dan berpura-pura mahu beli seluar dengan harga RM20 dan beredar beberapa minit kemudian.

"Saya hanya bimbang lelaki itu mengulangi perbuatan berkenaan kerana ia bukan kali pertama kejadian berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya. Sumber: Berita Harian - Editor: Amylea Nazrul